Gambar hiasan
BERLIN – Pengeluar kereta elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla, merancang melabur €3 bilion (AS$3.3 bilion) bagi memperluaskan kilangnya berhampiran Berlin, termasuk membina bangunan pengeluaran baharu untuk teksi pandu sendiri, Cybercab.
Menurut Agensi Berita Jerman (dpa), bangunan itu mempunyai kapasiti menghasilkan sehingga satu juta unit Cybercab yang direka membawa penumpang tanpa pemandu, namun Tesla tidak menyatakan tempoh untuk mencapai sasaran berkenaan.
“Dengan ini, kami meletakkan asas bagi menjadikan kilang Tesla di Grunheide sebagai kilang paling maju dari segi teknologi di dunia,” kata syarikat yang diterajui Elon Musk itu.
Kerja pembinaan dijadual bermula separuh pertama 2027, manakala pengeluaran dijangka bermula 2029.
Tesla berkata, pihaknya sedang mengambil beberapa ratus pekerja tambahan bagi menyokong peluasan itu dan merancang mengemukakan permohonan permit pembinaan sebelum akhir tahun ini.
Pelaburan itu turut merangkumi pembinaan bangunan sokongan serta sebuah loji rawatan air sisa tambahan.



