
MANILA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memohon maaf kepada Singapura dan Malaysia susulan kejadian jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada akebakaran hutan dan tanah di negara seberang.
Kenyataan yang dikeluarkan selepas hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN ke-49 di Manila menyebut kebakaran yang berlarutan hampir empat bulan itu mengakibatkan jerebu toksik sehingga menjejaskan penduduk di Singapura dan Malaysia.
“Kami telah menarik balik 17 konsesi syarikat. Sebanyak 26 firma juga sedang disiasat dan 11 daripadanya telah didakwa. Sebanyak 23 lagi syarikat bakal didakwa. Secara keseluruhan, sebanyak 104 syarikat kini dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya ketika berucap kepada pemimpin negara anggota ASEAN.

Terdahulu, seramai 71,000 petugas telah dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran, namun usaha itu meragut nyawa 16 anggota bomba selain ramai yang mengalami kecederaan. Selain itu, dua helikopter juga terlibat nahas.
Prabowo menegaskan Indonesia perlu mengubah pendekatan dalam menangani kebakaran hutan dan tanah dengan beralih daripada tumpuan terhadap operasi pemadaman serta mitigasi kepada langkah pencegahan yang lebih menyeluruh dan sistematik.
Sehubungan itu, kerajaan Indonesia merancang menubuhkan sebuah agensi baharu selain melaksanakan beberapa program bagi memperkukuh usaha mencegah kebakaran hutan dan tanah pada masa hadapan.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Singapura dan Indonesia pada bulan lalu bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas bersama bagi menyiasat syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran berskala besar itu.



