
NAIB Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, sedangkan Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan.
Beliau berkata, kenyataan Istana Negeri Sembilan pada 17 November lalu menjelaskan surat peletakan jawatan Ismail hanya diterima di Istana Hinggap pada jam 12.16 tengah malam, 17 November, dan ketulenannya masih belum disahkan.
Bagaimanapun, katanya, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sudah mengumumkan peletakan jawatan itu pada jam 10 malam, 16 November dengan menyatakan BN menghormati keputusan berkenaan.
“Lebih menarik, istana turut menjelaskan bahawa perkenan untuk Ismail menghadap Tuanku pada 20 November telah disampaikan melalui WhatsApp pada jam 8.38 malam, iaitu 80 minit sebelum pengumuman BN dibuat.
“Mengapa BN begitu tergesa-gesa mengumumkan peletakan jawatan Menteri Besar sedangkan istana sendiri belum mengesahkan ketulenan surat dan proses perlembagaan masih belum selesai?” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mahfuz berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai peranan kepimpinan UMNO dan BN dalam menguruskan kemelut politik di Negeri Sembilan, khususnya membabitkan kedudukan Menteri Besar dan institusi Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, Ismail merupakan calon Menteri Besar yang diangkat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, sepanjang krisis berkenaan, timbul beberapa pertikaian termasuk kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dakwaan Ismail dipaksa menandatangani dokumen sehingga membuat laporan polis, penarikan balik surat kepada Majlis Raja-Raja dan perkembangan terbaharu mengenai peletakan jawatannya.
“Adakah ini cara UMNO dan BN menguruskan sebuah negeri yang mempunyai institusi Raja Berperlembagaan?
“Parti politik berhak mencadangkan calon Menteri Besar, tetapi tidak boleh bertindak seolah-olah urusan pelantikan dan peletakan jawatan itu berada di bawah kuasa parti semata-mata,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Zahid dan kepimpinan UMNO memberikan penjelasan mengenai peranan mereka dalam krisis berkenaan, selain menjamin calon Menteri Besar baharu yang bakal dikemukakan tidak akan mengulangi episod sama.

Katanya, Negeri Sembilan tidak sepatutnya terus menjadi medan percaturan politik sehingga menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
Beliau turut mengingatkan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan bukan sekadar mendapatkan perkenan apabila diperlukan, sebaliknya menuntut pemimpin politik memahami batas kuasa dan mematuhi proses yang ditetapkan Perlembagaan.
“Jangan sampai Istana terpaksa menjelaskan kepada rakyat apa yang sepatutnya difahami terlebih dahulu oleh pemimpin parti politik.
“Ismail mungkin meletakkan jawatan, tetapi persoalan tanggungjawab Zahid dan UMNO terhadap krisis Negeri Sembilan masih belum terjawab,” katanya.


