
KOTA KINABALU – Industri muzik nasyid Sabah kini memperlihatkan perkembangan positif menerusi transformasi penghasilan karya yang lebih komersial, khususnya dalam kalangan penyanyi dan kumpulan nasyid generasi muda.
Pengerusi Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Nazri Saidali berkata, trend ini sekali gus membuka peluang karya penggiat nasyid tempatan menembusi pasaran muzik nasional.
“Ini merupakan satu perkembangan yang sangat positif kerana kita bukan sahaja menjadikan lagu nasyid di Semenanjung sebagai penanda aras, tetapi turut menyerapkan identiti Borneo sebagai ramuan dalam karya untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Perkembangan itu turut dibuktikan apabila beberapa karya penyanyi dan kumpulan nasyid Sabah mula mendapat tempat di pasaran Semenanjung, termasuk dimainkan menerusi stesen radio komersial Malaysia.
“Lebih menarik, kumpulan The Musafir juga pernah mendapat peluang dalam program temu bual menerusi TV AlHijrah,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Selasa.

Mengulas keunikan nasyid Sabah, beliau berkata, identiti Borneo menjadi antara kekuatan utama yang membezakan karya tempatan, khususnya melalui susunan muzik tersendiri serta penggunaan lirik yang menyelitkan unsur bahasa dan budaya etnik.
“Apabila artis nasyid kita membuat persembahan, orang akan dapat mengenali bahawa mereka berasal dari Sabah atau Borneo kerana kita mempunyai susunan muzik dan lirik tersendiri, termasuk penerapan elemen etnik dalam lagu,” ujarnya.
Tambah Nazri, penglibatan generasi muda turut menjadi pemacu utama perkembangan industri nasyid Sabah, khususnya menerusi pendekatan kreatif dan gaya persembahan lebih segar serta moden yang mampu menarik minat kelompok pendengar baharu.
Bagaimanapun, katanya, peluang persembahan masih menjadi antara cabaran utama penggiat nasyid Sabah berikutan komuniti industri yang masih kecil, selain usaha meyakinkan agensi kerajaan dan swasta untuk memberi ruang kepada artis tempatan dalam program serta acara rasmi.
“Bagi memperkukuh ekosistem industri itu, KOPAN berusaha memperbanyakkan katalog karya nasyid tempatan dengan menggalakkan penggiat seni menghasilkan rakaman baharu berteraskan konsep muzik moden yang patuh syariah serta mengekalkan lirik berunsurkan ketuhanan.
“Kerjasama strategik dengan Pertubuhan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) serta jaringan bersama kumpulan nasyid arus perdana seperti In-Team turut menjadi antara usaha memperluas pembangunan nasyid Sabah.
“Usaha itu juga bagi memberi motivasi kepada penggiat tempatan untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti dan membawa identiti muzik Borneo ke persada nasional,” jelasnya.



