
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada usaha pendigitalan rantaian nilai, pemasaran hasil tani dan makanan tempatan mulai 2026, termasuk menubuhkan studio hijau bagi menyokong usahawan menghasilkan kandungan pemasaran digital.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu bertujuan untuk meluaskan capaian pasaran, meningkatkan pendapatan usahawan serta mengurangkan kebergantungan kepada kaedah jualan konvensional.
“Keberkesanan pemasaran digital telah dibuktikan menerusi pengalaman mempromosikan pusat jualan di Koperasi Pembangunan Desa (KPD Avenue).
“Saya pernah menghasilkan satu video berkaitan KPD Avenue dan ia mencapai ratusan tontonan sehingga pemborong menghubungi pihak pengurusan kerana permintaan meningkat.
“Sebuah lagi video promosi makanan di lokasi sama mencatat lebih 100,000 tontonan di TikTok dan 86,000 tontonan di Facebook.
“Bayangkan jika hanya satu peratus daripada jumlah tontonan itu hadir ke premis, kesannya sangat besar kepada peniaga,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan di Dewan Wisma Pertanian Sabah, pada Isnin.

Tambah Jamawi, penubuhan studio hijau dicadangkan sebagai antara komponen penting dalam agenda pendigitalan pemasaran hasil pertanian dan makanan tempatan, khususnya bagi membantu usahawan kecil yang tidak mempunyai peralatan atau kemahiran teknikal untuk menghasilkan kandungan promosi digital.
“Kita tidak boleh lari daripada digital. Inilah bentuk pemasaran yang paling dekat dengan rakyat dan golongan muda hari ini.
“Kejayaan pemasaran digital memerlukan strategi, bimbingan serta kefahaman terhadap algoritma dan fungsi platform dalam talian bukan sekadar menghasilkan kandungan secara rawak.
“Terdapat usahawan tempatan yang mampu menjana jualan sehingga jutaan ringgit melalui platform digital, termasuk produk sambal, makanan laut, jeruk dan hasil ternakan,” kongsinya
Sehubungan dengan itu, Jamawi berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyediakan latihan pemasaran digital, pembangunan penjenamaan serta akses kepada platform jualan dalam talian yang bersesuaian.
Tegasnya, pendekatan mendampingi rakyat secara berterusan adalah amanah yang perlu dilaksanakan selaras dengan tema Belanjawan Negeri 2026 yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.



