
KUCHING – Sarawak menyokong penuh langkah memperketatkan keperluan maklumat pengirim bagi semua penghantaran bungkusan dari Semenanjung dan Sabah ke negeri ini sebagai usaha membanteras penyeludupan dadah.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu penting memandangkan kelemahan sistem rekod sedia ada sering dimanipulasi dengan penggunaan identiti dan alamat palsu.
Menurutnya, taktik licik tersebut sering menyukarkan pihak berkuasa menjejaki rangkaian pengedaran dadah sekali gus merencatkan proses siasatan.
“Keperluan data yang lebih telus dan sahih bukan sahaja mempercepatkan proses pengesanan, malah ia memperkukuh pendakwaan terhadap pihak yang terlibat.
“Apabila maklumat penghantar dapat disahkan dengan lebih ketat, ia akan menutup ruang manipulasi dan mempercepatkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Sarawak Tahun 2026 pada Isnin.
Mengulas mengenai peranan Pemadam, Abdul Karim menegaskan fokus badan itu kekal kepada aspek pencegahan menerusi pendidikan dan advokasi komuniti.
Jelasnya, aspek penguatkuasaan undang-undang tetap diterajui oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pendekatan pencegahan adalah pelaburan jangka panjang. Kita memberi tumpuan khusus kepada sekolah, belia, institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat bagi membina generasi yang menolak dadah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Pemadam Sarawak telah melaksanakan lebih 90 program kesedaran sepanjang tahun lalu meskipun berdepan kekangan peruntukan.
Susulan itu katanya, mesyuarat bersetuju mengemukakan cadangan peningkatan peruntukan tahunan Pemadam kepada kerajaan negeri bagi memastikan impak program dapat diperluaskan.
“Situasi penyalahgunaan dadah di Sarawak masih berada dalam keadaan terkawal, namun usaha berterusan amat penting bagi memastikan negeri ini kekal bebas daripada ancaman dadah,” katanya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







