
KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyediakan satu kertas cadangan bagi memperjelas definisi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) sebelum dibawa untuk dibincangkan di Mesyuarat Kaukus Parlimen, sebagai sebahagian daripada proses sebelum kerajaan memutuskan sama ada perjanjian itu akan diratifikasi.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kertas cadangan berkenaan akan dibentangkan kepada mesyuarat tersebut sebaik sahaja siap bagi mendapatkan pandangan serta input daripada semua Ahli Parlimen.
Beliau berkata, perbincangan itu akan diadakan sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad mengenai ratifikasi ART, yang mana prosesnya masih lagi berjalan ketika ini.
“Keputusan kerajaan untuk memeterai ART adalah hasil pertimbangan berlandaskan kepentingan ekonomi… kerajaan ingin jelaskan buat masa ini proses ratifikasi masih berjalan.
“Sebelum saya terbabit, perbincangan lebih tumpu pada ekonomi tetapi tak punya definisi yang jelas. Ada ratifikasi nanti, kita bincang dan ‘redefine’ balik.
“Apabila ada proposal (kertas cadangan), boleh kita bincang, YB (Yang Berhormat) jangan tidak datang… saya hendak jemput, bila (kita sudah) bersedia (dengan proposol) datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, yang mempersoalkan mengapa ART dimeterai secara tergesa-gesa dan meminta perjanjian berkenaan diteliti semula.
Kaukus Parlimen mengenai Pengenaan Tarif Timbal Balas Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia telah ditubuhkan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang bersidang pada 5 Mei lalu.
Kaukus itu berfungsi sebagai platform dwipartisan Parlimen bagi tujuan libat urus serta penyampaian input kepada kerajaan dalam merangka strategi nasional secara menyeluruh.
Keanggotaannya terdiri daripada Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang, dengan pemilihan ahli bagi blok kerajaan ditentukan oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), manakala bagi blok pembangkang ditentukan oleh Ketua Pembangkang.
Pada masa sama, Johari berkata sebelum proses ratifikasi dimuktamadkan, terdapat keperluan untuk memperjelas beberapa isu berbangkit yang timbul akibat salah faham, termasuk yang berkaitan dengan soal kedaulatan dan kepentingan negara.
Menurutnya, penjelasan turut perlu diberikan dalam konteks ekonomi bagi memastikan tidak berlaku diskriminasi dalam hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS.
“Contohnya, apa yang berlaku dalam perjanjian itu…jika anda sudah melakukan perjanjian dengan AS, jadi mana-mana negara yang tidak disukai (AS), kita kena ikut… tidak (benar).
“Dia punya konteks ialah, dia (AS) tidak mahu ada diskriminasi kepada mereka sekiranya kita bawa pelabur baharu. Jika ada diskriminasi, maka kita kena datang dan lihat.
“Orang (AS) yang datang awal ke negara kita dan kemudian kita bawa negara lain datang, dan kita bagi mereka insentif lebih baik yang menyebabkan AS rasa terjejas. Jadi perkara seperti ini kita perlu jelaskan (define) supaya kita tiada perbezaan dari konteks ekonomi dengan AS,” katanya.
Dalam pada itu, Johari menegaskan tidak timbul isu perjanjian ART ditandatangani secara tergesa-gesa kerana proses yang dilalui adalah sama seperti langkah Malaysia memeterai 17 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sebelum ini.
Beliau berkata, pembabitan Malaysia dalam ART bertujuan memastikan akses pasaran yang berterusan dan stabil ke AS, yang merupakan rakan dagang serta destinasi pelaburan utama negara.
Menurutnya, nilai eksport produk Malaysia ke AS mencatatkan RM167.2 bilion pada 2022, RM161.3 bilion pada 2023, RM198.6 bilion pada 2024 dan RM233 bilion pada tahun lalu.
“Soal perjanjian ini, sebagai sebuah negara kita sudah tandatangan 17 FTA, sembilan membabitkan FTA multilateral dan lapan adalah bilateral.
“Dalam konteks AS ini, saya difahamkan proses perbincangan yang berlaku bukan muktamad sebaliknya ia seperti perbincangan dalam mana-mana FTA yang pernah Malaysia tandatangani pada 1993, 2003, 2006, 2009, 2010 dan 2019. Ia bukan perkara baharu dari segi FTA untuk ekonomi,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai kesan kepada Malaysia sekiranya ART tidak dimeterai, Johari berkata keadaan itu berisiko menyebabkan pelabur, khususnya dalam sektor semikonduktor, berpindah ke negara lain kerana dikenakan tarif lebih tinggi oleh AS berbanding kadar 19 peratus ketika ini.


