
KOTA KINABALU – Penganjuran Kinabalu Pickleball League (KPL) yang julung kali dianjurkan menjadi inisiatif berteraskan komuniti bagi memperkasa pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.
Pengerusi penganjur, Mohd Noh Adzlie berkata, KPL yang dianjurkan oleh Berjaya Niaga dengan kerjasama Dinkerson Point Pickle Club (DPPC) dan Pickleholics mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sukan pickleball sekitar Kota Kinabalu, sekali gus mencerminkan peningkatan minat serta potensi besar sukan berkenaan untuk berkembang pesat di Sabah.
“Pendaftaran pada peringkat awal dihadkan kepada 16 pasukan, yang kebanyakannya terdiri daripada rakan-rakan dan pemimpin komuniti pickleball sendiri. Susulan sambutan itu, jumlah pasukan kini meningkat kepada 20 pasukan,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Rasmi KPL di Teppanya, Kolombong Plaza, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, liga ini juga merupakan satu eksperimen untuk melihat tahap penerimaan sukan pickleball di Sabah, berbeza dengan Lembah Klang yang sudah mempunyai penyertaan ratusan pemain bagi setiap kejohanan.
“Bulan pertama ini sangat berjaya. Dengan 20 pasukan dan setiap pasukan mendaftarkan enam pemain, sekurang-kurangnya 120 pemain akan bertanding pada hari perlawanan pertama.
“Daripada 20 pasukan tersebut, 19 pasukan adalah dari Kota Kinabalu manakala satu pasukan dari Keningau dan bulan hadapan dijangka menyaksikan penyertaan dua lagi pasukan dari Keningau, selain potensi kemasukan pasukan dari Tenom, Kota Belud dan Kota Marudu,” ujarnya.
Tambahnya lagi, jumlah penyertaan pasukan tidak ditetapkan secara kekal kerana konsep yang digunakan adalah ‘Open Play’, iaitu terbuka kepada semua.
“Kami tidak mahu membebankan pasukan dengan komitmen bulanan. Pickleball ini sangat sosial dan kami mahu beri peluang kepada semua untuk bermain. Sambutan sekarang ini ibarat pisang goreng panas.
“Setakat ini, dianggarkan seramai 200 hingga 250 pemain aktif bermain pickleball di sekitar Kota Kinabalu. Menjelang Jun 2026, Sabah dijangka mempunyai kira-kira 96 gelanggang pickleball, sekali gus membuka ruang untuk pembangunan komuniti dan perniagaan berkaitan sukan tersebut.
“Bila bisnes berkembang, sukan akan berkembang. Bila sukan berkembang, kualiti atlet akan meningkat,” ujarnya.
Liga ini dijadualkan berlangsung setiap bulan bermula 24 Januari hingga Ogos 2026.



