KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberi signal semakin jelas untuk bergerak secara solo dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebagai langkah yang dilihat sebagai usaha parti itu untuk kembali menjadi kuasa dominan politik nasional.
Perkara itu dimaklumkan perwakilan UMNO yang menghadiri sesi taklimat tertutup Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, petang ini, yang menyentuh persiapan awal parti menjelang PRU16.
Menurut perwakilan berkenaan, Ahmad Zahid menegaskan bahawa meskipun BN berhasrat untuk bertanding secara bersendirian, UMNO perlu bersikap realistik dengan dinamika politik semasa yang menuntut persefahaman rentas parti.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan bentuk mahupun hala tuju persefahaman itu, sama ada dengan Pakatan Harapan (PH) atau berdama Perikatan Nasional (PN).
“Strategi UMNO bertanding solo ini dilihat sebagai laluan untuk membolehkan parti kembali menjadi parti dominan selepas pilihan raya.
“Bagi memastikan hasrat UMNO menjadi dominan dapat direalisasikan, Presiden mahu parti mulai sekarang menyantuni semua pihak sama ada rakan mahupun lawan politik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika dihubungi, pada Rabu.
Dalam pada itu, seorang lagi perwakilan memaklumkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut menyentuh keperluan parti bersikap lebih terbuka dalam menerima semula bekas pemimpin dan ahli UMNO yang kini bersama pembangkang.
“Ahmad Zahid mengakui telah bertemu beberapa bekas pemimpin UMNO yang menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti, namun menegaskan sebarang keputusan perlu mendapat mandat dan persetujuan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU),” katanya.
Dalam taklimat itu, perwakilan berkata, Zahid turut menjadikan bekas ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, sebagai contoh ahli dan pemimpin yang setia meskipun pernah dipecat oleh parti sebelum ini.
“Presiden memberi isyarat bahawa parti membuka pintu kepada mereka yang dipecat atau digantung untuk kembali kepada UMNO
“Presiden kata dia tak zalim bahkan menjemput mereka untuk hadir ke Perhimpunan Agung Umno sebagai pemerhati. Tindakan Ahmad Zahid itu ke arah memperkukuhkan parti dalam menghadapi PRU-16,” katanya.
Pada masa sama, perwakilan berkenaan memberitahu bahawa Presiden juga tidak mahu UMNO mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selagi syarat minimum kepujian Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak dipenuhi
“Presiden juga turut menyentuh isu Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan tindakan UMNO seterusnya akan diumumkan pada PAU kali ini.
“Apapun, kita perlu tunggu sehingga sesi penggulungan Sabtu ini apakah keputusan yang akan dibawa oleh parti dalam menentukan hala tuju seterusnya,” katanya.
Terdahulu, UMNO dan BN gagal menjadi parti dominan selepas PRU15 selepas hanya memenangi 30 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen.
Sebaliknya, Pas mengambil peranan itu serta menjadi parti politik yang memiliki jumlah kerusi tertinggi di Parlimen iaitu 43 kerusi, diikuti oleh DAP dengan 42 kerusi.


