
KINABATANGAN – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha menyifatkan gelaran ‘katak’ yang sering dilemparkan dalam politik bukanlah satu perkara yang ‘murah’, sebaliknya membawa ‘rahmat’ jika bersuara untuk rakyat.
Beliau berkata, istilah itu tidak wajar dilihat sebagai negatif sebaliknya membawa makna baik kerana ‘katak’ yang mahal bersuara untuk rakyat dan bukan ‘katak’ yang cuma diam tanpa berjuang.
“Katak ini sekarang mahal. Kalau hujan tak turun panas tanaman mati kebun-kebun tak jadi, kemarau air hujan tiada di rumah jadi penting bagi kita katak ini adalah satu binatang yang bagus sentiasa bersuara memanggil hujan dan hujan ini adalah rahmat.
“Jadi sebab itu bagi kita, apapun dimainkan dalam media sosial bagi itu perkara biasa kerana yang menentukan itu adalah rakyat,” katanya kepada media.
Pada PRN17 Sabah lepas, Miha bertanding di kerusi DUN Lamag sebagai calon Bebas dalam pertembungan enam penjuru termasuk calon BN, Allayarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Difahamkan, Miha juga pernah menyertai UPKO, Warisan dan GRS sebelum peralihan ke BN dan menjadi calon pada PRK Lamag.






