
MIRI – Penduduk Miri dipelawa untuk memanfaatkan inisiatif Perkhidmatan Nasihat Guaman Percuma yang akan diadakan di Pusat Komuniti Tanjung Miri, pada Sabtu ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Miri itu dijadualkan bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, bertujuan membantu masyarakat memahami hak dan prosedur perundangan dengan lebih jelas.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, inisiatif tersebut merupakan komitmen pihaknya dalam memastikan akses kepada keadilan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa bebanan kos.
“Ramai dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya kurang pendedahan mengenai hak perundangan mereka. Jadi, program ini memberi ruang untuk mereka mendapatkan panduan awal secara bersemuka dengan peguam profesional.
“Langkah ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas mengenai skop perkhidmatan, beliau menjelaskan pelbagai isu boleh dirujuk merangkumi urusan harta pusaka, wasiat, perceraian serta hak penjagaan anak.
“Selain itu, perkhidmatan ini turut melibatkan isu penyewaan, pemilikan hartanah, gangguan, fitnah, kes jenayah ringan, prosedur mahkamah serta konsultasi cukai (CP500),” tambah beliau.
Memandangkan slot yang disediakan adalah terhad, orang ramai yang berminat dinasihatkan untuk membuat janji temu awal bagi melancarkan sesi perundingan.
Sebarang pertanyaan atau pendaftaran boleh dibuat dengan menghubungi talian 012-852 0946.







