BANGKOK – Banjir buruk di zon ekonomi Hatyai yang menjadi tumpuan pelancong dijangka berlarutan hingga pertengahan bulan depan.
Pengarah Pusat Perubahan Iklim dan Bencana Universiti Rangsit, Prof Madya Seree Supratid berkata, walaupun paras air di hulu daerah Sadao semakin menurun, namun aliran air ke hilir akan meningkat sebelum memasuki bandar, sekali gus memburukkan lagi keadaan banjir.
“Pada jam 7 pagi semalam (Selasa), paras air banjir meningkat hampir dua meter berbanding hari sebelumnya (Isnin).
“Rumah yang sebelum ini hanya tenggelam satu meter kini ditenggelami sepenuhnya, manakala rumah di kawasan rendah seperti Majlis Perbandaran Khuan Lang tenggelam sehingga ke bumbung,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Supratid yang juga Naib Presiden Yayasan Majlis Amaran Bencana Kebangsaan, menganggarkan jumlah hujan pada Jumaat lalu hingga semalam mencecah kira-kira 850 milimeter, menghasilkan 1,200 hingga 1,500 juta meter padu aliran permukaan.
Katanya, keupayaan saliran semula jadi dan pam, air dijangka surut sekitar 10 hari.
Namun tempoh itu mungkin lebih panjang akibat paras laut yang tinggi dijangka berterusan hingga hujung bulan ini.
Beliau turut mengkritik kekurangan penyelarasan pengurusan bencana mengikut Akta Pencegahan dan Mitigasi Bencana 2007, sambil menegaskan meskipun keadaan sudah dinaikkan ke Tahap 3 dengan Menteri Dalam Negeri sebagai komander insiden, tindakan kerajaan masih bergantung pada peraturan Kabinet dan bukan mekanisme rasmi.
“Orang ramai terperangkap di atas bumbung, kenderaan tenggelam dan golongan rentan merayu bantuan, namun tiada struktur komando (arahan) pusat,” katanya.
Beliau menggesa langkah segera seperti memotong benteng jalan bagi mempercepatkan aliran air keluar dan meminimumkan kerugian.
Sementara itu, Pengurus Yayasan Komuniti Thailand, Maitree Jongkraichak menggesa kerajaan mengambil tindakan segera.
Menerusi media sosial, beliau mencadangkan pembentukan ‘bilik perang’ (war room) membabitkan pakar akademik, rangkaian komuniti dan penganalisis data selain menggerakkan pelan bencana peringkat kebangsaan serta wilayah.
Langkah yang disyorkan termasuk memetakan risiko banjir, menyelaras operasi menyelamat melalui pusat radio komunikasi, menggerakkan bot dan pesawat tentera untuk pengangkutan, menubuhkan pusat pemindahan serta dapur pusat, selain menyediakan kemas kini media setiap dua jam.
Dalam pada itu, Pakar Ekologi Marin, Thon Thamrongnawasawat menekankan pengajaran lebih luas daripada bencana Hatyai, sambil menegaskan bencana pada era pemanasan global kini semakin ekstrem.
Beliau menasihati penduduk supaya tidak menjadi mangsa dengan menyediakan bekalan kecemasan, merancang laluan keluar dan membantu golongan rentan lebih awal.




