
SANDAKAN – Seramai 373 pencarum dan waris di Sabah menerima faedah melebihi RM481,000 menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) setakat 31 Oktober lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, secara keseluruhan sebanyak RM20.23 juta telah dibayar kepada 12,582 pencarum dan waris yang layak di seluruh negara menerusi skim berkenaan.
Menurutnya, LINDUNG 24 Jam menyediakan perlindungan kewangan kepada pekerja dan keluarga sekiranya berlaku kemalangan atau musibah tanpa mengira waktu, tempat dan aktiviti.
Beliau turut menyeru pekerja khususnya di Sabah supaya memastikan perlindungan skim berkenaan kekal aktif, manakala pencarum yang pernah memilih untuk keluar daripada skim itu digalakkan menyertai semula melalui kaunter LINDUNG 24 Jam.

“LINDUNG 24 Jam membuktikan ia bertindak sebagai perlindungan bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat sokongan kewangan jika berlaku kemalangan.
“Musibah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira waktu, tempat atau aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Kenduri Rakyat i LINDUNG u @ Batu Sapi, di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Firdaus berkata pelaksanaan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) sejak 1 Oktober lalu turut memberi manfaat kepada golongan sasar menerusi usaha memperkasa pasaran buruh.
Katanya, faedah baharu susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu merekodkan pembayaran berjumlah RM12,000 kepada 12 penerima yang layak setakat ini.
Jelasnya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu orang berinsurans menghadapi peralihan kerjaya termasuk mengatasi kekangan geografi ketika menerima tawaran pekerjaan.
“Kita mahu agar setiap peluang peralihan kerjaya berupaya dimanfaatkan sepenuhnya, tanpa dibatasi faktor geografi kerana kerajaan memahami bahawa ada pelbagai faktor yang diambil kira apabila menimbangkan tawaran kerja.
“Justeru, EBM ini akan memberi manfaat sebaiknya buat orang berinsurans menerusi Akta 800 termasuk generasi muda di seluruh Sabah,” ujarnya.
Mengulas mengenai penganjuran program itu, beliau berkata pendekatan turun padang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat perlindungan sosial dapat disampaikan secara terus kepada rakyat, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Menurutnya, orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat, nasihat dan perkhidmatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi kaunter yang disediakan tanpa perlu hadir ke pejabat agensi berkenaan.
Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk diskaun faedah caruman lewat bayar sehingga 80 peratus kepada majikan, saringan kesihatan percuma serta kaunter LINDUNG Kasih, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Pekerja dan LINDUNG Kendiri.
Selain itu, pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut menyediakan perkhidmatan termasuk Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS), Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), HRD Corp, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) serta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Dalam program sama, Khairul Firdaus turut menyampaikan plak penghargaan kepada Kelab Belia Flat MPS Karamunting, Sandakan, yang muncul johan Anugerah Perdana Belia Negara 2025 Peringkat Negeri Sabah bagi Kategori Pertubuhan Belia.



