Gambar hiasan
KUALA NERUS – Seramai 207 penumpang termasuk kru pesawat Airbus A321neo terkandas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini selepas pesawat berkenaan gagal mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur akibat cuaca buruk.
Pesawat Qingdao Airlines (QW907) dari China itu selamat mendarat di LTSM sekitar jam 5.30 petang semalam, selepas turut tidak dapat dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berikutan kekurangan bahan api.
Menurut sumber, kesemua penumpang sebelum itu ditempatkan di Balai Berlepas Antarabangsa LTSM sementara menunggu urusan lanjut.
Memandangkan LTSM tidak mempunyai perkhidmatan penyambungan pengisian semula bahan api, bekalan minyak perlu diuruskan dari Pahang atau Kelantan.
“Bekalan minyak berkemungkinan dibawa dari Kuantan atau Kota Bharu dan selepas pengisian selesai, barulah pesawat dapat meneruskan penerbangan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Buat sementara waktu, kesemua penumpang ditempatkan di tiga hotel sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melalui lima perjalanan pengangkutan yang disediakan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, mengesahkan pendaratan pesawat berkenaan di LTSM berikutan faktor cuaca, dan memaklumkan kesemua individu di dalam pesawat berada dalam keadaan selamat.



