TAWAU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memperhebat kerjasama bersama parti-parti komponennya dengan memberi keutamaan kepada prinsip ‘Sabah First’ iaitu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, untuk ke arah itu, sokongan semua pihak perlu diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Dalam Pilihan Raya Umum akan datang yang lebih penting di sini ialah keutamaan pembangunan dan kepentingan Sabah.
“Gabungan itu kekal kerana sekarang ini kerajaan negeri adalah kerajaan perpaduan. Keutamaan kita ialah ‘Sabah First’,” katanya.
Beliau berlata demikian kepada media selepas merasmikan program sehari bersama Skuad Bomba, SURI dan Majlis Pentauliahan Pasukan Bomba Komuniti Kampung (Kg) Inderasabah, di Tawau, pada Sabtu.
Mengenai dakwaan perkembangan politik melibatkan Parti Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Nizam berkata, perkara itu merupakan strategi parti masing-masing dan diserahkan kepada rakyat untuk menilainya.
Menurutnya, Sabah ketika ini berada di landasan pembangunan yang tepat menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 bagi tempoh lima tahun yang telah menunjukkan hasil, termasuk peningkatan hasil pendapatan negeri dan pertumbuhan ekonomi.
Katanya, kerajaan negeri kini bergerak ke arah pelaksanaan SMJ 2.0 bagi meneruskan agenda pembangunan serta memastikan lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada rakyat.
Mengambil contoh isu bekalan air di Tawau, beliau berkata projek empangan air yang sebelum ini terhenti ketika pentadbiran kerajaan terdahulu telah dimulakan semula dan dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan.
“Ini merupakan salah satu contoh bagaimana kebijaksanaan dan ketelitian kerajaan dalam melakukan banyak penambahbaikan.
“Namun, pihak pembangkang tidak mahu melihat usaha berkenaan, sebaliknya hanya mengaburi mata rakyat dan menabur pelbagai dakwaan seolah-olah kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan untuk kesejahteraan rakyat.
“Selain bantuan Rumah Mesra SMJ dan pendidikan, projek Lebuhraya Pan Borneo juga kini berjalan dengan baik. Jadi, sokongan semua pihak harus diteruskan kepada kerajaan hari ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya


