Sultan Ibrahim mula lawatan negara 3 hari ke Bahrain

MANAMA – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di sini pada Khamis untuk lawatan negara selama tiga hari ke Bahrain.

Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Terminal Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, Riyadh selepas menamatkan lawatan empat hari di Arab Saudi, selamat mendarat di Pangkalan Udara Sakhir, di sini pada jam 3.40 petang (8.40 malam waktu Malaysia).

Mengiringi Yang di-Pertuan Agong ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Tan Sri Dr Azmi Rohani, lapor Bernama.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim diberi sambutan hamparan permaidani merah oleh Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa, dan putera Bahrain yang lain.

Berangkat sama bagi menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ialah paduka anakanda Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al- Haj.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Duta Besar Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli, dan Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menerima persembahan jambangan bunga daripada dua kanak-kanak perempuan, sebelum melintasi barisan kawalan kehormatan setempat dan disambut kenamaan dari Malaysia dan Bahrain.

Seri Paduka Baginda seterusnya berangkat ke Istana Sakhir, Zallaq bagi istiadat sambutan negara oleh Raja Hamad.

Lawatan negara ke Bahrain ialah lawatan keenam dilaksanakan Sultan Ibrahim selepas Singapura, China, Brunei, Rusia dan Arab Saudi.

Lawatan itu juga menandakan satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara pulau di Teluk Parsi itu, yang juga lawatan pertama seumpamanya sejak 1974.

Tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Bahrain bernilai RM1.19 bilion (AS0.26 bilion).

Eksport Malaysia ke negara itu antaranya termasuklah makanan diproses, produk sawit, produk elektrik dan elektronik serta peralatan pengangkutan, manakala import utama dari Bahrain meliputi barangan logam, bijih dan sisa logam, produk petroleum, serta besi dan keluli.

Bahrain adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-11 terbesar dan sumber import kelapan terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Related Posts

Kes denggi makin membimbangkan, gotong-royong mega Aedes bakal dilaksana

KUALA LUMPUR – Demi membanteras kes denggi di negara ini, antara cadangan yang akan diteliti ialah mengadakan program gotong-royong mega bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 pada Oktober ini.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bekas Ketua Hakim Negara meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 90 tahun. Berita pemergian Allahyarham yang juga anak jati Batu Gajah, Perak…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kes denggi makin membimbangkan, gotong-royong mega Aedes bakal dilaksana

Kes denggi makin membimbangkan, gotong-royong mega Aedes bakal dilaksana

PH sambut baik BN terbuka runding kerusi di Melaka

PH sambut baik BN terbuka runding kerusi di Melaka

Bersatu pertimbang lapor ROS dakwaan keahlian dalam PN gugur automatik

Bersatu pertimbang lapor ROS dakwaan keahlian dalam PN gugur automatik

Bapa lemas cuba bantu anak jatuh kolam ikan

Bapa lemas cuba bantu anak jatuh kolam ikan

Gol Pavithran bawa Malaysia ke separuh akhir Piala ASEAN

Gol Pavithran bawa Malaysia ke separuh akhir Piala ASEAN

BN Melaka mahu rundingan politik dihentikan di media sosial

BN Melaka mahu rundingan politik dihentikan di media sosial