
KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang melaksanakan perancangan agar kawasan tanaman getah matang dan terbiar diuruskan secara kluster melalui Program Konsolidasi Getah Terbiar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dasar terbabit dilaksana demi meningkatkan pengeluaran hasil getah asli dan mengurangkan kebergantungan kepada getah asli import.
Menurut beliau, program berkenaan yang mampu meningkatkan produktiviti pekebun kecil, turut memberi tumpuan kepada kawasan getah tua yang sedang dalam proses torehan parah, sebelum ditanam semula.
“Pada masa, kawasan yang akan ditanam semula itu akan diuruskan secara berkelompok dengan kaedah berbeza, iaitu secara penanaman pepagar dan perimeter, berbanding jarak tanaman konvensional.
“Ruang kosong antara barisan tanaman getah ini juga berpotensi untuk diusahakan secara komersial dengan tanaman makanan lain. Kaedah ini bukan saja menggandakan pendapatan pekebun kecil, malah menyumbang kepada peningkatan bekalan makanan tempatan dan pengurangan kebergantungan kepada bekalan sumber makanan import.
“Selain itu, ia juga membantu mengurangkan kos penyelenggaraan ladang, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Jawapan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen PN Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan mengenai rancangan kementerian dalam membangunkan tanah komoditi terbiar menggunakan kaedah penggiliran tanaman bagi menambah hasil pertanian dan mengurangkan risiko kebergantungan kepada bekalan makanan import.
Mengulas lanjut, Johari berkata, KPK tidak mengamalkan kaedah penggiliran tanaman, sebaliknya agensi di bawah KPK sentiasa melaksanakan pelbagai strategi dan inisiatif lain untuk memaksimumkan potensi tanah komoditi terbiar itu.
Bagi komoditi sawit, beliau memaklumkan, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat aktiviti tanam semula sawit melalui Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0), dengan peruntukan RM100 juta pada 2024 dan RM50 juta pada 2025.
“Bantuan disediakan dalam bentuk hibrid, iaitu 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman. Selain itu, produktiviti dan pendapatan pekebun kecil persendirian (PKP) ditingkatkan melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum melalui Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe).
“Skop bantuan bagi ITa adalah tanaman seperti pisang, nanas, tembikai, betik dan jagung, manakala bagi ITe seperti ayam dan itik, yang bukan saja dapat meningkatkan produktiviti dan mempelbagaikan pendapatan PKP, malah membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan import,” katanya.
Bagi komoditi koko, Johari, berkata Lembaga Koko Malaysia (LKM) mengatasi isu tanah terbiar dengan melaksanakan beberapa pelan tindakan dan pendekatan, seperti integrasi tanaman, pemulihan dan rejuvenasi ladang koko dan pembangunan varieti baharu.
“Melalui strategi ini, tanah komoditi terbiar mampu dimanfaatkan secara mampan, sekali gus meningkatkan hasil dan mengurangkan kebergantungan negara kepada bekalan makanan import,” katanya.






