Kemelut Bersatu: ‘Karma politik’ kembali menghantui Muhyiddin

PUTRAJAYA – Kemelut dalaman Bersatu yang semakin meruncing jelas bukan sekadar perebutan kuasa, sebaliknya menggambarkan krisis disiplin serta kepercayaan terhadap kepemimpinan parti dengan sebelum ini pernah menjulang agenda perjuangan Melayu dan integriti.

Pengasas Kelab Bunga Raya, Dr A Aziz Azizam menegaskan, pergolakan yang tercetus kini ibarat episod ulangan terhadap sejarah parti itu sendiri, apabila individu yang pernah mengetuai Bersatu kini menjadi bahan sasaran desakan untuk berundur.

Katanya, Bersatu sebelum ini tidak terlepas daripada tindakan drastik terhadap tokoh pengasas termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin awal yang digugurkan demi kepentingan dan kedudukan tertentu.

“Secara umumnya, ramai melihat keadaan ini sebagai suatu bentuk karma politik terhadap parti itu sendiri, seolah-olah apa yang pernah dilakukan dahulu kini berbalik kepada mereka.

“Sama ada ini benar-benar karma atau sekadar ujian politik, segalanya bergantung kepada bagaimana Bersatu memilih untuk menulis semula naratifnya selepas badai ini berlalu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mewakili badan bukan kerajaan (NGO) luar negara di bawah Bersatu 1.0 dalam kenyataan, pada Rabu.

Krisis kepemimpinan Bersatu memuncak selepas tindakan parti memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selain pemecatan beberapa Ketua Bahagian pada 14 Oktober lalu ekoran isu akuan bersumpah mendesak pengunduran Muhyiddin.

Tidak lama selepas itu, dua lagi tokoh parti, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Khaliq Mehtab Ishaq, masing-masing turut disingkirkan daripada jawatan Pengerusi PN Pahang dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Mengulas lanjut, Aziz berkata, suasana ketika ini amat berbeza berbanding dua tahun lalu apabila pemimpin dan ahli ‘berbondong-bondong’ menyatakan ikrar kesetiaan agar Muhyiddin kekal menerajui parti.

Beliau yang juga penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) menegaskan, ironinya, sebahagian daripada mereka yang dahulunya mempertahankan Muhyiddin kini mendesak supaya pemimpin itu melepaskan jawatan.

“Ada yang berpandangan langkah Muhyiddin berundur mungkin membawa kebaikan kepada parti kerana beliau kini berdepan kes mahkamah yang berpotensi menjejaskan imej Bersatu.

“Jika beliau berundur sementara waktu, parti itu mungkin dapat menonjolkan imej yang lebih telus, berdisiplin dan berprinsip, sementara proses perundangan beliau berjalan. Bagaimanapun, persoalan yang lebih besar adalah siapakah yang mampu memimpin Bersatu keluar daripada kemelut ini?

“Walaupun mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) semalam kelihatan tenang, namun hakikatnya, gelombang ketidakpuasan hati masih jelas dirasai di akar umbi. Wujudnya kelompok yang bertindak sebagai ‘rabble-rouser’ (penghasut) menunjukkan parti ini masih mencari arah kepemimpinan yang mantap dan diyakini,” katanya.

Sementara itu, Aziz turut mengingatkan bahawa keputusan akhir konflik itu akan menentukan masa depan pemimpin yang lantang membuat aduan terhadap kepimpinan, sama ada dilihat sebagai tersilap langkah atau wajar diberi tempat lebih tinggi jika terbukti benar.

Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM itu memaklumkan, konflik terbabit juga akan menguji kebijaksanaan Bersatu dalam mengurus perbezaan pendapat secara dalaman.

“Jika krisis ini dapat diselesaikan dengan baik, mereka yang menjadi pengadu awal, seperti Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal mungkin akan dilihat sebagai pihak yang tersilap langkah dan menanggung persepsi negatif sepanjang karier politik mereka.

“Bagaimanapun, jika ternyata mereka berada di pihak yang benar, parti wajar memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada mereka, termasuk kedudukan yang lebih tinggi dalam kepemimpinan,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin ketika ditemui media selepas mesyuarat MPT Bersatu memaklumkan, Ahli MPT bersetuju untuk menghentikan kemelut yang melanda parti berkenaan.

Katanya, buat masa ini kepimpinan parti hanya mahu memberi tumpuan kepada pengukuhan dan mencari jalan penyelesaian dalam kadar segera.

Related Posts

Kerajaan MADANI pastikan semua kaum, aliran pendidikan terbela – PMX

ALOR GAJAH – Kerajaan MADANI akan terus memastikan keperluan semua kaum serta aliran pendidikan di negara ini diberi perhatian secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana pihak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lawatan ke ESS Zone ruang wakil asing nilai tahap keselamatan Sabah Timur

SANDAKAN – Program lawatan ke Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) yang disertai 14 wakil diplomatik dan perwakilan asing memberi peluang kepada wakil asing melihat sendiri tahap keselamatan, keamanan dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan MADANI pastikan semua kaum, aliran pendidikan terbela – PMX

Kerajaan MADANI pastikan semua kaum, aliran pendidikan terbela – PMX

Lawatan ke ESS Zone ruang wakil asing nilai tahap keselamatan Sabah Timur

Lawatan ke ESS Zone ruang wakil asing nilai tahap keselamatan Sabah Timur

Peruntukan pertahanan dijangka terus dipertingkat dalam Belanjawan 2027 – Anwar

Peruntukan pertahanan dijangka terus dipertingkat dalam Belanjawan 2027 – Anwar

Pelancong asing salah guna PLS untuk berniaga dikenakan tindakan tegas – Saifuddin

Pelancong asing salah guna PLS untuk berniaga dikenakan tindakan tegas – Saifuddin

Bukan salah bangsa, tetapi cara kita berfikir

Bukan salah bangsa, tetapi cara kita berfikir

Pahang peruntuk RM12 juta untuk SUKMA, Para SUKMA Selangor

Pahang peruntuk RM12 juta untuk SUKMA, Para SUKMA Selangor