
KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mencari penyelesaian holistik dalam memperluaskan inisiatif FLYSiswa, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM400 kepada pelajar yang memerlukan di peringkat institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).
Menterinya, Anthony Loke berkata, kerajaan ketika ini berdepan dengan kesukaran serta kekangan dari sudut kewangan, susulan peluasan inisiatif FLYSiswa kepada pelajar IPTS itu membabitkan jumlah yang besar.
“Sama ada hendak memperluaskan kepada pelajar IPTS, jumlahnya sangat besar, bukannya tidak mahu tetapi ada kewangan dari segi kewangan… kalau seorang RM400, 100,000 pelajar sudah jadi RM40 juta.
“Namun kita tetap mencari jalan untuk meluaskan kepada pelajar yang memerlukan bantuan di peringkat IPTS,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang mahu tahu sama ada MoT berhasrat untuk meluaskan kelayakan inisiatif terbabit kepada pelajar IPTS.

FLYSiswa mula dilaksanakan pada 2023 membabitkan kadar bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sebanyak RM300, sebelum ia dinaikkan kepada RM400 bermula 1 Januari lalu.
Dalam pada itu, Anthony memaklumkan, sehingga kini pemberian baucar tiket penerbangan bernilai RM400 itu diberikan kepada pelajar di peringkat ijazah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej perguruan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ia bagi membolehkan pelajar khususnya mereka berasal dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung untuk berulang-alik ke kampung halaman,” katanya.
Sementara itu, Anthony berkata, sepanjang tahun ini, MoT membelanjakan sebanyak RM19.5 juta untuk mensubsidikan 39,764 tiket penerbangan melalui inisiatif subsidi tambang siling RM499 bagi tiket penerbangandari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut beliau, ia membabitkan subsidi berjumlah RM491 untuk setiap tiket penerbangan yang layak bagi tahun ini.
“Dengan subsidi ini, harga maksimum yang perlu dibayar oleh penumpang adalah RM499 walaupun purata harga sebenar adalah RM990.
“Subsidi untuk tahun ini dilaksanakan bagi Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai, Pesta Kaamatan dan akan diteruskan untuk Krismas pada bulan depan,” katanya.
Tambah beliau, bagi tahun lalu pula, melalui inisiatif subsidi tambang siling RM599, MoT membelanjakan RM11 juta untuk mensubsidikan 26,993 tiket penerbangan.
Katanya, ia bermaksud harga purata sebenar tiket penerbangan ini adalah RM1,007 dengan kerajaan mensubsidikan RM408, menjadikan harga maksimum yang dibayar oleh penumpang adalah RM599.






