KUANTAN – Keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan kerusi Parlimen Jerantut dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN) perlu ditebus semula dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bagi memastikan hasrat itu dapat diterjemahkan, jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Jerantut perlu diperkemaskan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, pesanan itu antara yang disampaikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mesyuarat tertutup bersama pimpinan UMNO Bahagian, hujung minggu lalu.
“Datuk Seri Zahid optimis bahawa peluang untuk merampas kembali kerusi Parlimen dan DUN di Jerantut ini tetap ada, dengan syarat semua perlu bekerja keras,” katanya.
Selain itu, Razak memaklumkan, setiap pimpinan Bahagian perlu akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti dalam memilih calon mewakili BN dalam PRU16.
“Program sedia ada yang dilaksanakan UMNO Bahagian perlu diteruskan, dan menambah lagi program membabitkan anak muda.
“Dari segi calon pula, paling utama adalah mereka yang disenangi rakyat… mempunyai sokongan kuat dari akar umbi,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut meminta pimpinan di peringkat Bahagian untuk memperkemaskan hubungan antara ahli.
“Kami di peringkat AJK Bahagian akan memberi sokongan dalam setiap keputusan dibuat Ketua Bahagian, Haris Salleh Hamzah,” katanya.
Dengan semangat dan sokongan kuat daripada Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, UMNO Bahagian Jerantut yakin dapat memberi saingan sengit kepada PN dalam PRU akan datang.
“Datuk Seri Wan Rosdy selaku Naib Presiden UMNO dan Menteri Besar Pahang selalu mengingatkan supaya jentera di semua peringkat untuk sentiasa dalam keadaan bersedia,” katanya.






