
MIRI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Miri menahan dan menyita sebanyak 10 buah motorsikal dalam satu Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di kawasan Taman Tunku pada petang hingga malam semalam.
Operasi bermula jam 5 petang hingga 10 malam itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Miri, melibatkan seorang pegawai kanan polis dan sembilan anggota.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, tujuan operasi tersebut adalah bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
“Hasil operasi, sebanyak 18 kenderaan diperiksa dan 10 buah motosikal ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana telah diubah suai daripada struktur asal. Selain itu, 20 individu turut diperiksa dan 40 saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
ACP Mohd Farhan menegaskan bahawa operasi seumpama itu akan dijalankan secara berterusan bagi mendidik pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, agar sentiasa menunggang dengan berhemah, tidak terlibat dalam aktiviti berbahaya, serta tidak mengubah suai kenderaan secara haram.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berkumpul di tepi jalan untuk melakukan aktiviti yang boleh menyebabkan kesesakan atau bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam,” tambahnya.
Beliau turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri di talian 085-433400.
Foto: IPD Miri





