
KAPTEN Arsenal, Martin Odegaard muncul penyelamat apabila menjaringkan gol tunggal untuk menewaskan Hull City 1-0 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Arsenal mendominasi perlawanan namun buntu menembusi pertahanan kental Hull selama lebih sejam, sebelum Odegaard bertindak pantas pada minit ke-72.
Beliau menolak masuk bola muntah selepas percubaan Noni Madueke diselamatkan penjaga gol Hull, Konstantinos Tzolakis.
The Gunners hampir menambah jaringan kedua pada penghujung perlawanan, namun percubaan Madueke berjaya dikeluarkan dari garisan gol oleh Brooke Norton-Cuffy selepas bola terkena pemain Hull, Nobel Mendy.
Kemenangan itu merupakan kemenangan kelima berturut-turut Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris sejak tewas 0-3 kepada Brighton pada September lalu.
Ia juga mengekalkan rekod The Gunners yang hanya kehilangan mata dalam satu perlawanan setakat musim ini, sekali gus terus mengungguli liga dengan kelebihan enam mata.



