
KOTA KINABALU – Prosiding inkues pada Isnin dimulakan dengan keterangan saksi kanak-kanak, iaitu Pelajar A dengan menggunakan bahasa yang lebih ringkas dan berkomunikasi menggunakan monitor TV serta kamera video.
Menurut peguam kepada ibu Zara, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, keterangan itu diberikan melalui kaedah soal jawab berbeza selaras dengan peruntukan Akta Keterangan Kanak-Kanak.
“Peguam bertanya dengan cara lebih mudah dan saksi kanak-kanak ada pendamping serta jurubahasa. Untuk pelajar A, pendampingnya ialah bapanya.
“Saksi akan berada di bilik lain dan kami hanya berkomunikasi menggunakan monitor TV serta kamera video,” katanya semasa sidang media selepas Prosiding Inkues Hari ke-11, di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Mengulas berkenaan video tular ucapan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai inkues Zara, Syarulnizam berkata, peguam kepada pelajar A telah membuat permohonan berkaitan konten prosiding sebelum sesi soal jawab dimulakan pagi Isnin.
“Kami sebagai peguam kepada ibu Zara bersetuju secara prinsip kerana bila prosiding mahkamah ini bergerak, kita harus hormati perjalanan proses ini dan menjaga kata-kata.
“Kita harus hati-hati sepanjang prosiding ini berlaku kerana ia melibatkan kanak-kanak saksi.
“Mereka amat terkesan dan perlu kita lindungi semua agar kita dapat pentingkan objektif kita iaitu mencari kebenaran dalam investigasi ini.
“Kita tidak mempunyai halangan dan berharap pihak yang berwajib menjalankan tugas mereka,” ujarnya.





