89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 77 97 106 108 105 115 32 80 101 114 97 115 109 105 97 110 32 80 101 110 117 116 117 112 97 110 32 80 114 111 103 114 97 109 32 77 65 68 65 78 73 32 82 97 107 121 97 116 32 40 80 77 82 41 32 50 48 50 53 32 75 101 100 97 104 32 100 105 32 75 111 109 112 108 101 107 115 32 83 117 107 97 110 32 77 97 106 108 105 115 32 68 97 101
KEPUTUSAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan permintaan Kedah menukar sebahagian kawasan sawah sekitar bandar utama kepada zon industri, komersial dan perumahan membuka lembaran baharu pembangunan negeri ini.
Langkah itu menjawab rungutan lama kononnya Kedah terikat dengan status Negeri Jelapang Padi sehingga peluang pelaburan dalam bidang perindustrian terbantut.
Kali ini, sawah berhampiran bandar diberi nafas baharu dengan menjadikannya lokasi kilang, kawasan perniagaan dan perumahan yang bakal menguntungkan rakyat.
Dengan lampu hijau dari Putrajaya, rakyat Kedah dijangka menerima limpahan manfaat.
Lebih banyak peluang pekerjaan akan tercipta hasil kemasukan industri dan pelaburan baharu.
Bekalan rumah lebih luas untuk golongan muda dan pekerja yang selama ini tertekan dengan harga sewa tinggi.
Kemudahan infrastruktur lebih baik, termasuk projek tebatan banjir yang mendapat peruntukan besar dari Kerajaan Persekutuan.
Anwar juga menegaskan jelapang padi negara tetap terpelihara. Hanya kawasan sekitar Alor Setar yang dibuka untuk pembangunan, manakala tanah sawah lain akan terus dikekalkan demi keterjaminan makanan negara.
Peruntukan pembangunan Kedah tahun ini meningkat kepada RM9.6 bilion berbanding RM7 bilion pada 2021. Angka ini sendiri menafikan dakwaan kononnya Kerajaan Pusat menindas negeri pembangkang.
Pada pemerintahan terdahulu, memang sukar melihat negeri pembangkang dapat suntikan sebesar ini.
Dendam kesumat bukan prinsip pemerintahan Kerajaan MADANI hari ini.
Tetapi Anwar membuktikan dasar MADANI tidak memilih bulu iaitu negeri pembangkang sekalipun tetap diberi perhatian kerana yang utama ialah kesejahteraan rakyat.
Namun, rakyat juga gusar. Persoalan besar bukan lagi soal duit atau kelulusan, tetapi soal pelaksanaan.
Projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah contohnya iaitu peruntukan berjuta-juta sudah turun, tetapi kemajuannya amat perlahan.
Rakyat tetap berdepan gangguan bekalan, sementara alasan demi alasan kedengaran daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bayangkan jika projek pembangunan sawah bertukar bandar ini mengalami nasib sama iaitu sawah kian susut, rumah terbengkalai, kilang tidak wujud akhirnya rakyat yang menanggung derita.
Anwar sudah membuka jalan, siap isi minyak penuh tangki. Tinggal lagi bagaimana pemandu di Kedah mengemudikannya.
Sanusi perlu buktikan beliau mampu melaksanakan, bukan sekadar beretorik. Jika pembangunan ini tergendala seperti Loji Rawatan Air, rakyat akan melihat peluang keemasan yang diberikan PMX lebur begitu sahaja.
Kesimpulannya, Putrajaya sudah hulur tangan, rakyat Kedah sudah menaruh harapan dan kini jangan sampai Sanusi pula yang culas melepaskan peluang.



