KUANTAN – Jaguh sukan tempur dari lebih lima negara akan bersaing dalam UXR Showdown yang akan berlangsung pada 27 September ini di Stadium SUKPA, dekat Indera Mahkota, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif UXR Showdown, Sabri Jaafar berkata, pertandingan sukan tempur itu juga bakal menjadi perhimpunan jaguh sukan ekstrem berkenaan yang terbesar di Pantai Timur.
“Untuk program ini, kita bawakan jaguh antaranya dari Lubnan, Kemboja, China, Ghana dan Thailand.
“Kita berhasrat menjadikan Pahang sebagai hab sukan tempur yang menjadi pilihan utama dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.
![]()
Ahmad Sabri turut memaklumkan, pihak UXR juga akan melancarkan kempen anti-buli pada hari pertandingan itu dan menyampaikan mesej kepada semua penonton mengenai isu buli yang masih berleluasa.
“Menerusi kempen ini, kita mahu terapkan semangat saling menghormati dalam kalangan atlet bertanding, cara mengawal emosi dan langkah terbaik meredakan tekanan,” jelasnya.
Dia mempelawa orang ramai membeli tiket untuk hari pertandingan itu sebagai tanda sokongan kepada sukan tempur dan meraikan atlet dari negara luar yang mengambil bahagian.
Katanya, paling utama adalah mesej anti-buli yang ingin dibawa menerusi penganjuran acara itu supaya dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya buli dan kesan kepada emosi generasi muda.






