RUU PSB: Jangan hanya tentang, kemukakan cadangan penambahbaikan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 perlu diberi ruang untuk diperhalusi dan ditambah baik melalui perbahasan konstruktif di Parlimen, bukannya ditentang secara membuta tuli.

Beliau berkata, meskipun terdapat beberapa kelemahan dalam draf RUU berkenaan, ia tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk membuat tuduhan melulu kononnya kerajaan ingin merampas kediaman rakyat bagi tujuan pembangunan semula kawasan bandar.

“Soal nilai ambang (yang menjadi antara pertikaian dalam RUU berkenaan) boleh dibincangkan masa perbahasan, tetapi saya mahu sebut pengalaman peribadi dan saya percaya Yang Berhormat boleh lihat seperti rumah Sri Perlis di sini, (dilengkapi) satu bilik, teruk benar.

“Jika ada cadangan lain (untuk tambah baik RUU PSB 2025), kemukakan tetapi jangan (dakwa) seolah-olah mahu rampas (rumah). Rampas apa… saya pergi tengok rumah sebilik (didiami) dua keluarga dengan satu daripadanya ada enam anak.

“Tanggungjawab kita mencari kaedah membangunkan semula (rumah) dengan tiga bilik minimum untuk satu keluarga. Ya mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita cuba betulkan. Namun, (bukan) hanya menyerang tanpa (syor penambahbaikan),” katanya.

Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN–Kuala Terengganu) dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan tersebut berkaitan dengan pelaksanaan nilai ambang dalam pembangunan semula bandar seperti yang dicadangkan dalam RUU PSB 2025.

RUU PSB 2025 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri malam semalam, sebelum dibahaskan oleh 20 orang Ahli Parlimen.

Penggulungan perbahasan dijalankan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar memberi jaminan bahawa beliau terbuka untuk menerima dan mempertimbangkan sebarang pandangan yang bertujuan menambah baik RUU PSB 2025.

Namun, sebarang pindaan perlu dibuat secara telus dan mengikut proses perundangan yang sah.

“Kalau perlu, kita pinda (nilai ambang dalam RUU PSB 2025). Jangan kita buat andaian ini strategi (untuk golongan) Cina rampas hak masyarakat Melayu, saya tidak setuju (untuk keadaan terbabit berlaku).

“Saya bukan boneka, saya duduk di sini (dilantik sebagai Perdana Menteri) terima mandat, pertahankan Melayu dan Bumiputera yang majoriti (di negara ini) serta hak asasi (mereka),” tegas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan semula bandar bukan sekadar soal fizikal, tetapi menyentuh soal maruah dan kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang masih mendiami kawasan yang daif dan usang.

“Berapa lama rumah di Sri Perlis… 60 tahun. JKR (Jabatan Kerja Raya) kata boleh tahan 70 tahun, tetapi pergi tengoklah. Pergi tengok di Bandar Tun Razak, Cheras (dan) Kampung Kerinchi, Pantai Dalam.

“Kampung Kerinchi saya ingat kerana saya yang bangunkan semasa menjadi Menteri Kewangan dahulu. Daif, memang ada masalah ketika itu. Gunakan tindakan agak keras untuk memaksa, tetapi sekarang guna jalur perundangan lebih teliti,” katanya.

Menjawab dakwaan kononnya projek pembangunan semula ini hanya menguntungkan golongan tertentu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memberi keutamaan kepada kumpulan yang wajar, termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia.

“Pembangunan di Sungai Besi sekarang yang kita ambil alih, selain projek dijalankan pada Fasa I, keutamaannya tentu untuk veteran Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Mereka bertungkus lumus puluhan tahun, jadi kita beri keutamaan kepada mereka. Ini dikendalikan syarikat khas yang kita pantau melalui syarikat milik Petronas dan kerajaan,” ujarnya.

Related Posts

DUN Negeri Sembilan bubar Jumaat, PH tanding solo

SEREMBAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi akan dibubarkan berkuat kuasa pada Jumaat, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16. Pembubaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kalau tidak Jumaat, Isnin DUN Negeri Sembilan dijangka bubar

SEREMBAN – Teka-teki mengenai masa depan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka terjawab dalam tempoh beberapa hari lagi apabila desas-desus pembubarannya semakin kuat diperkatakan dalam kalangan pemain politik negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

DUN Negeri Sembilan bubar Jumaat, PH tanding solo

DUN Negeri Sembilan bubar Jumaat, PH tanding solo

Kalau tidak Jumaat, Isnin DUN Negeri Sembilan dijangka bubar

Kalau tidak Jumaat, Isnin DUN Negeri Sembilan dijangka bubar

Perlis terima RM4 juta hasil hubungan baik dengan Persekutuan

Perlis terima RM4 juta hasil hubungan baik dengan Persekutuan

Kemelut SD bekas MB Perlis kembali membara

Kemelut SD bekas MB Perlis kembali membara

Pemandu mabuk bakal berdepan hukuman lebih berat

Pemandu mabuk bakal berdepan hukuman lebih berat

PBAPP laksana tarif baharu air mulai 1 Julai

PBAPP laksana tarif baharu air mulai 1 Julai