
KOTA KINABALU – Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga arwah Zara Qairina, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan mahkamah membenarkan peguam bela kepada lima pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian Zara yang akan bermula pada 3 September depan.
Bagaimanapun, katanya pasukan guaman ibu Zara tetap menghormati keputusan yang dibuat mahkamah.
“Semua tertuduh, daripada yang pertama sehingga kelima, dibenarkan menjadi saksi berkepentingan.
“Kami agak kecewa kerana perkara itu dibenarkan memandangkan tiada bantahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kami menghormati keputusan, cuma sebagai manusia biasa kami tidak dapat menolak rasa kecewa tersebut,” katanya dalam sidang media selepas prosiding pengiktirafan pihak berkepentingan inkues di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Shahlan, pihak mereka membantah permohonan berkenaan kerana berpandangan isu melibatkan lima pesalah kanak-kanak sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Kanak-Kanak, bukan di inkues.
“Sebab salah satunya mereka sepatutnya ‘battle’ mereka bukan di inkues, ‘real battle’ mereka adalah di Mahkamah Kanak-Kanak sebab inkues prosedur lain.
“Kita hanya mahu tahu apa yang berlaku terhadap Zara bukan untuk membela siapa-siapa bukan untuk membela ataupun untuk menyabitkan seseorang itu dengan mana-mana kesalahan,” ujarnya.
Shahlan turut berkata bahawa pasukan peguam bela ada memohon penangguhan prosiding inkues, namun permohonan itu ditolak oleh Hakim Koroner selepas dibantah pihaknya dan AGC.
“Permohonan untuk menangguh inkues telah ditolak,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau dokumen berkaitan siasatan akan diberikan kepada mereka sebelum tarikh inkues, manakala senarai saksi dijangka diserahkan selewat-lewatnya esok.



