
IPOH – Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan parti itu tidak pernah menggunakan sumber atau dana kerajaan bagi tujuan kepartian, sebaliknya hanya bergantung sepenuhnya kepada sokongan akar umbi.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap sen dana kerajaan adalah untuk rakyat, manakala urusan parti kekal dipisahkan daripada pentadbiran kerajaan.
“Kita sentiasa mengasingkan antara parti dengan kerajaan. Sumber atau dana kerajaan tidak pernah digunakan untuk parti kerana setiap sen adalah hak rakyat.
“Maka, kelangsungan DAP bergantung kepada sokongan padu rakyat di peringkat akar umbi,” katanya ketika berucap pada Jamuan Makan Malam DAP Perak di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini malam Ahad.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dan Bendahari DAP, Ngeh Koo Ham.
Anthony berkata, pengalaman DAP sebagai pembangkang sebelum ini mendidik parti untuk memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan, namun kini sebagai parti kerajaan, keutamaan adalah membuktikan pencapaian kepada rakyat.
“Hari ini kita berada dalam kerajaan. Tanggungjawab kita ialah menunjukkan apa yang kita buat untuk rakyat, negeri dan negara.
Inilah misi kita supaya Malaysia terus maju ke hadapan sekali gus mengangkat martabat negara,” tegasnya.
Beliau menegaskan, fokus utama DAP ketika ini ialah pembangunan negara, pemerkasaan ekonomi dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, manakala soal pilihan raya hanya akan diberi perhatian pada masanya kelak.
“Sudah tentu kita ada strategi dan persiapan untuk pilihan raya, tetapi yang paling penting sekarang, setiap pemimpin dan wakil rakyat DAP mesti berkhidmat sebaik mungkin di kawasan masing-masing,” katanya.




