
KOTA KINABALU – Peguam kepada keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan rakaman audio berdurasi 44 saat yang tular memaparkan perbualan antara pelajar berusia 13 tahun itu dan ibunya adalah rakaman sebenar.
Berdasarkan laporan Berita Harian pada Rabu, Peguam Hamid Ismail berkata rakaman itu sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, selain menasihatkan orang ramai agar berhenti menyebarkan spekulasi tidak berasas termasuk teori kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh sehingga mengalami kecederaan dalaman.
“Saya mohon, hentikan buat spekulasi sebegitu,” katanya ringkas ketika diminta mengulas pelbagai naratif liar yang berlegar di media sosial, seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa teori tidak berasas seperti itu bukan sahaja mengganggu proses siasatan, malah mencemarkan imej serta maruah mangsa dan keluarganya.
Spekulasi kononnya Zara mengalami kecederaan akibat tekanan mesin basuh tular sejak beberapa hari lalu menerusi pelbagai akaun tidak dikenali di media sosial.
Teori itu mendakwa mesin berkenaan digunakan untuk menghapuskan cap jari dan DNA.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai sebarang unsur seperti yang didakwa dalam teori berkenaan.
Allahyarham Zara, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, ditemui parah di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu, keesokan harinya.
Kematian remaja itu mencetuskan reaksi meluas selepas timbul dakwaan wujud unsur buli dan kelemahan dalam siasatan awal, termasuk ketiadaan bedah siasat sebelum pengebumian.
Peguam keluarga turut mengemukakan permohonan kepada Jabatan Peguam Negara agar kertas siasatan dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan semula dan agar kubur Allahyarham digali bagi tujuan bedah siasat serta satu inkues dijalankan mengikut Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.



