Wan Rosdy Wan Ismail
BENTONG – UMNO Pahang mengatur pelbagai program strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam usaha merampas semula kerusi yang kini dimiliki pembangkang di negeri ini.
Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha memperkukuh sokongan terhadap UMNO dan kerajaan negeri sedang giat dilaksanakan termasuk menerusi bantuan kepada rakyat dan pelbagai insentif pendidikan untuk anak-anak Pahang.
“Walaupun belum sempurna, prestasi Kerajaan Negeri semakin baik dan sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa demi kepentingan rakyat.
“Penubuhan Akademi Pahang First, yang bertujuan memperkukuh kefahaman dan semangat generasi muda terhadap perjuangan UMNO, di samping Sekolah Patriotik UMNO sebagai satu inisiatif baharu bagi mengekalkan kesinambungan kepimpinan parti,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Wan Rosdy berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, semalam.
Beliau menegaskan sekolah (patriotik) itu memberi pendedahan terhadap isu-isu semasa seperti ekonomi digital, perpaduan nasional dan cabaran global, ini menunjukkan UMNO serius dalam penyesuaian menghadapi cabaran zaman moden.
Dalam masa sama, Menteri Besar Pahang itu menyelar pendekatan pembangkang yang didakwa hanya menabur janji tanpa tindakan.
“Kita tidak berjanji kosong. Kita berjanji dan kita laksanakan untuk rakyat Pahang,” katanya.

