
TAWAU – Keseronokan menyaksikan demonstrasi ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Karnival CIMIC 2025 memberi semangat kepada dua sahabat baik untuk bergelar anggota tentera, kelak.
Nurzahirah Fitrisya Hassan, 14, berkata, keberanian dan semangat patriotik yang ditunjukkan setiap anggota sepanjang karnival itu menjadi inspirasi mereka untuk turut menyumbang kepada pertahanan negara.

Begitu juga sahabatnya, Nur Sazwani Mohd Elwi, 13, meluahkan kekaguman sebab bukan sahaja lelaki, ada juga perempuan yang jadi perajurit berkorban untuk negara.
“Saya memang minat dan bercita-cita mahu jadi tentera supaya saya boleh melindungi orang ramai dan negara kita,” kongsinya.

Sementara itu, Widiyanah Hasan, 35, dari Merotai turut mengambil peluang membawa dua anaknya, Alif Asyraf Azhar, 10, dan Fatinah Azzahra Azhar, 7, ke karnival berkenaan seawal 6.30 pagi.
“Saya memang tahu ada program Angkatan Tentera ini jadi saya ambil peluang bawa anak-anak isi masa lapang mereka.
“Apa yang saya nampak anak-anak ni gembira, tapi memang nampak mereka minat sebab sudah naik helikopter tadi dan peganag senapang, nanti mahu cuba lain lagi,” katanya.
Karnival CIMIC berjaya menghimpunkan 15,000 pengunjung dari pelbagai daerah di Sabah sepanjang dua hari penganjurannya sejak Sabtu.
Program disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Antara aktiviti sepanjang penganjuran karnival adalah pameran aset dan perisai, demonstrasi ATM dan agensi keselamatan lain seperti tentera Udara dan tentera laut, persembahan Kawad Senyap, pertunjukan terjun bebas Pasukan Elit dan demonstrasi anjing perang.
Terdapat juga reruai agensi keselamatan dan awam yang terlibat dalam memberi perkhidmatan kepada komuniti setempat seperti Kaunter Bayaran Saman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jualan MADANI dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).








