Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak merancang menyekat akses perkhidmatan kesihatan dan fasiliti perubatan awam secara mutlak hanya kepada warga Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sumber kewangan dan kapasiti sistem kesihatan awam adalah terhad dan perlu diutamakan kepada rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai.
Bagaimanapun, katanya, dasar berkaitan penggunaan perkhidmatan kesihatan oleh bukan warganegara sentiasa diteliti bagi memastikan ia tidak membebankan kewangan kerajaan.
“Bukan warganegara yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM tertakluk kepada kadar caj tanpa subsidi di bawah Perintah Fi (Perubatan) (Kos Perkhidmatan) 2014,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, lapor Berita Harian.
Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mengenai cadangan menghadkan akses perkhidmatan kesihatan awam hanya kepada warga Malaysia bagi mengelakkan kebanjiran warga asing dan pelarian.
Dzulkefly berkata, KKM melaksanakan pendekatan collect before discharge, iaitu memperkukuh kutipan deposit dan bayaran semasa pesakit masih berada di wad, selain meluaskan penggunaan pembayaran tanpa tunai dan digital.
KKM juga memperkukuh pengurusan Tunggakan dan Akaun Belum Terima bil perubatan bukan warganegara, termasuk tindakan kutipan dan pengeluaran notis undang-undang.
Bagi pelarian dan pemohon suaka pula, KKM berpandangan tanggungjawab pembiayaan rawatan tidak wajar ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.
“Oleh itu, KKM sedang meneliti pendekatan pembiayaan yang lebih mampan, termasuk mewajibkan perlindungan insurans kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, secara prinsipnya keutamaan sumber awam adalah kepada warganegara, namun KKM perlu mengambil kira keperluan rawatan kecemasan, kawalan penyakit berjangkit serta pertimbangan kemanusiaan.
“Pendekatan KKM bukan menutup akses secara mutlak kepada bukan warganegara, tetapi memastikan akses itu dikawal melalui dasar caj, syarat bayaran dan mekanisme kutipan yang bersesuaian,” katanya.


