
SANDAKAN – Perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki dipercayai menjadi punca kejadian pergaduhan di kawasan Pasar Bandar Ramai-Ramai, di sini, malam Isnin, yang membawa kepada penahanan 11 lelaki.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata, kesemua lelaki berusia antara 15 hingga 46 tahun itu terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.
Beliau berkata perselisihan faham berkenaan dipercayai bermula kira-kira 12.30 tengah malam pada 16 November sebelum berlarutan sehingga mencetuskan satu lagi pergaduhan pada sebelah malam.
“Polis menerima maklumat melalui talian kecemasan NG999 kira-kira 7.36 malam berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam.
“Kejadian itu turut dirakam sebelum videonya tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi menyelesaikan sebarang perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.
Orang ramai juga diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan video yang tular kerana dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu siasatan polis.



