PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan serta-merta dengan memanggil wakil Sin Chew Daily berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada penerbitan muka depan akhbarnya.
Menerusi satu kenyataan, KDN memaklumkan surat tunjuk sebab juga telah diserahkan kepada syarikat itu, hari ini.
Ujar kementerian berkenaan, tindakan diambil berpandukan dua perundangan berkaitan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit – yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan – adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk,” katanya.
Tegas KDN, pihaknya tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua akta yang berkuat kuasa akan dipertimbang sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan,” ujar KDN.
Terdahulu, tindakan Sin Chew Daily dalam terbitan akhbarnya di muka hadapan memaparkan bendera Jalur Gemilang tanpa bulan sabit mengundang kritikan dan kemarahan pelbagai pihak.
Bagaimanapun, akhbar itu membuat permohonan maaf dalam kenyataan sambil menyifatkan ia disebabkan kesilapan teknikal tidak disengajakan.



