bomba Pahang lemas
KUANTAN – Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang selepas terjatuh bot di Tasik Bera, dekat Bera, semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mayat Sabri Juaram, 49, dijumpai 10.05 pagi.
“Mangsa ditemukan di lokasi dia dipercayai terjatuh iaitu kira-kira tiga kilometer dari Pangkalan Kampung Putat.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Bera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang bermula semalam membabitkan pasukan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung ditamatkan jam 12.30 tengah hari.
Mangsa dipercayai bekerja sebagai penoreh getah dilaporkan terjatuh ke tasik ketika menaiki bot bersama isteri dan anak perempuannya semasa menyeberang dari Kampung Putat ke Pangkalan Kampung Benal, Pos Iskandar, Bera.
Isteri dan anaknya selamat dalam kejadian itu.



