
RANAU – Seorang pemandu lori yang membawa muatan tiang elektrik maut selepas treler yang dipandunya itu terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kampung Nabutan, di sini, pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, usaha menyelamatkan mangsa Mohd Raziman Sahrin, 30, mengambil masa hampir 19 jam.
“Mangsa akhirnya berjaya dikeluarkan pada pukul 2.50 pagi tadi, namun beliau yang ditemukan tertimbus dengan tanah disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.41 pagi dan sebaik tiba di lokasi didapati treler terbabas dan terjunam ke gaung.
“Kemudian bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas namun gagal,” katanya dalam kenyataan itu pada Jumaat.
Jelas beliau, pasukan bomba masih berada di lokasi sementara menunggu bantuan kren dari Kota Kinabalu yang kemudian tiba di lokasi pada pukul 6 petang.
“Kerja-kerja mengangkat treler dijalankan tetapi tidak berjaya setelah tiga kali percubaan dan kemudian teknik diubah dengan mengalihkan muatan konkrit yang dibawa sebanyak hampir 70 batang tiang.
“Akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas selepas hampir 19 jam usaha mengeluarkannya dilakukan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, seramai lapan anggota bomba bersama sebuah jentera, enam anggota PDRM, dua kakitangan lori kren termasuk lima anggota keluarga mangsa turut berada di lokasi bagi membantu operasi tersebut.
“Setelah keseluruhan keadaan terkawal dan dipastikan selamat operasi ditamatkan pada pukul 3.12 pagi,” katanya.







