DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara bermula tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan selain pengurusan lebih baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menangani rungutan mengenai harga dikenakan bagi permohonan lesen perniagaan.
“Pendekatan baharu yang kita laksanakan adalah apabila DBKL mengambil tanggungjawab itu dalam dua perkara iaitu pemberian lesen dan penyelenggaraan.
“Apabila kita laksanakan itu, ia memenuhi keperluan sesiapa yang ingin berniaga.
“Dalam pendekatan baharu ini juga kita berikan harga berpatutan. Contohnya, bazar itu kita beri harga untuk sewaan RM500 sahaja.
“Maksudnya dalam sehari hanya RM16 sahaja (kadar sewa). Sebelum ini aduan mengatakan ada (penjaja) yang memberikan sampai RM20,000 tapi tak dapat tapak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.
Dr Zaliha berkata, menerusi inisiatif itu juga DBKL akan menjalinkan kerjasama dengan badan korporat dalam memastikan pengoperasian bazar lebih tersusun dan seragam.





