
PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia bagi menghadapi Luruan Monsun yang dijangka akan melanda beberapa negeri selatan semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sehingga 19 Januari ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, persediaan rapi telah dilakukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi-agensi lain yang terlibat termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menghadapi luruan monsun tersebut.
“Dari segi persiapan bagi pihak NADMA sentiasa bersedia untuk hadapi dan bagi kementerian-kementerian yang menguruskan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga MCMC untuk tujuan telekomunikasi. Kita sudah minta untuk berada pada tahap kesiap-siapan yang tinggi.
“Tiga lokasi diberi amaran luruan monsoon termasuk selatan semenanjung Malaysia, Sarawak dan juga Sabah. Jadi peringatan kepada warga yang berada di negeri Johor terutama di sekitar Mersing, Pengerang untuk berhati-hati. Juga warga di Sarawak dan Sabah untuk sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir akibat luruan monsoon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pasca Kabinet bersama Jurucakap Kerajaan Perpaduan pada Rabu.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang melakukan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku pada 15 sehingga 19 Januari ini.
Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, METMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan Johor, Sabah dan Sarawak berkuat kuasa pada 16 hingga 19 Januari 2025.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan.







