PILIHAN RAYA UMUM kali ke-16 negara kita masih lagi jauh tetapi dunia politik tanah air kita semakin panas kerana dek fitnah antara satu sama lain.
Kepanasan politik fitnah yang kita lihat pada hari ini seolah-olah kita sudah berada dalam musim pilihan raya.
Kesan dari itu setiap bulan pasti ada ahli politik yang turun naik mahkamah untuk perbicaraan sama ada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang.
Bagaimanapun hasil dari keputusan mahkamah kini ada pihak yang menang hingga kini bergelar jutawan segera dan ada yang kalah boleh menjadi bankrap dan terpaksa menadah tin milo bagi meminta simpati dari penyokong untuk membayarnya.
Begitulah nasib Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng dalam masa singkat sahaja beliau kini bergelar jutawan sekelip mata apabila beberapa kes samannya dari tahun lalu dan tahun ini mampu meraih pulangan jutaan ringgit hasil dirinya difitnah.
Dalam landskap politik tanah air, nama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Guan Eng adalah nama yang paling popular dikaitkan dengan fitnah oleh pembangkang.
Walaupun pembangkang dari Pas dan Bersatu kalah tetapi mereka masih tidak serik untuk terus meratib dan menfitnah demi untuk berkuasa.
Pada September 2023 Mahkamah Tinggi Perak memerintahkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria membayar saman sebanyak RM250,000 kepada Guan Eng berhubung hantaran Facebook yang dianggap menfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Kemudian pada November 2024 lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar saman sebanyak RM1.35 juta kepada Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.
Terkini pada Disember 2024 pula, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan kenyataan bahawa Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad diarahkan membayar kepada Guan Eng sebanyak RM250,000 kerana mengaitkan trio DAP dengan komunis.
Daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM1.85 juta hasil kemenangan fitnah itu Guan Eng kini bergelar jutawan sekelip mata dengan hanya beberapa bulan sahaja.
Apa yang menyedihkan ialah Pas dan fitnah sudah tidak dapat dipisahkan lagi dalam memburu kuasa pada hari ini hingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun bercanggah dengan ajaran Islam.
Kemenangan itu sudah pasti akan menceriakan Guan Eng yang akan menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Sudah pasti mungkin tersirat di hati Guan Eng bahawa tahun 2023 dan 2024 merupakan ‘ong’ bagi dirinya dan DAP.
Guan Eng sudah boleh merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada Tahun Baharu Cina nanti dengan lebih besar lagi untuk orang ramai bagi menghadirinya hasil limpahan wang yang disumbangkan oleh tiga ahli pembangkang itu.
Sekarang timbul tanda tanya adakah Pas dan Bersatu akan serik selepas kekalahan demi kekalahan yang mereka terima dalam perbicaraan kes fitnah itu?
Demi maruah dan agama sepatutnya ahli politik pembangkang terutamanya Pas muhasabah perjuangan mereka hari ini yang banyak terpalit dengan fitnah.
Bagi orang Melayu pula inilah akibatnya kerana tersalah pangkah akhirnya dapatlah pemimpin yang suka membuat fitnah tanpa takut pada dosa walaupun berimej ulama.
Bagaimanapun segala keputusan itu akan memberi pengajaran kepada mereka yang terpalit dengan isu fitnah dan tahun 2025 nanti adakah fitnah terus akan menjadi senjata Pas?





