
JASIN – Semua jentera Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya kekal tenang dan mengamalkan sikap profesional ketika berkempen bagi mengelakkan sebarang provokasi sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kempen pilihan raya sepatutnya menjadi ruang untuk meraikan demokrasi dan bukannya medan mencetuskan ketegangan atau menggunakan kekerasan bagi memenangkan calon.
Beliau berkata, peringatan itu penting khususnya kepada jentera PKR dan PH supaya tidak bertindak mengikut emosi apabila berdepan provokasi pihak lawan.
“Kita kena faham dalam ini adalah untuk kita meraikan demokrasi. Meraikan demokrasi bukan bermakna kita perlu meletakkan kekerasan dalam usaha memenangkan calon.
“Tetapi kita kena lebih bersikap profesional, tenang, di samping membuat kerja-kerja yang sepatutnya kita buat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden provokasi membabitkan jentera BN yang didakwa memasuki kawasan penyokong PH di Politeknik Merlimau ketika hari penamaan calon DUN Merlimau, hari ini.
Insiden berkenaan berlaku apabila jentera BN didakwa memasuki kawasan yang diperuntukkan kepada penyokong PH di Politeknik Merlimau, sekali gus mencetuskan sedikit ketegangan kecil antara penyokong kedua-dua parti.
Dr Zaliha berkata, semua jentera perlu mengamalkan sikap lebih matang dan berfikiran jauh bagi memastikan sebarang provokasi dapat ditangani dengan cara yang baik.
Beliau berkata, pihaknya akan terus memberikan peringatan kepada jentera supaya kempen sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung secara berhemah, selain memberi tumpuan kepada usaha menyampaikan tawaran parti kepada pengundi.
“Kita sebagai orang yang lebih matang dan berfikiran jauh, walaupun ada provokasi kita cuba atasi dengan cara yang baik.
“Yang ini kita kena terus beri peringatan kepada semua jentera-jentera kita, khususnya jentera keadilan dan jentera Pakatan Harapan supaya dalam tempoh berkempen ini, berkempen secara baik dan matang,” katanya.
Mengulas tawaran PH pada PRN Melaka, Dr Zaliha berkata, gerak kerja kempen dan penyelarasan manifesto parti akan dipusatkan di bawah Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.
Katanya, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut akan mempunyai manifesto atau tawaran khusus berdasarkan keperluan penduduk setempat.
Beliau yang sempat mengunjungi bilik gerakan DUN Rim berkata, tawaran bagi kawasan itu akan diperincikan dalam tempoh sehari dua lagi menerusi sidang media khas bagi menjelaskan perkara yang akan dibawa calon kepada penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan.
Katanya, PH juga akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai perubahan dan perancangan yang ingin dilaksanakan sekiranya calon parti itu diberikan mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Dalam pada itu, Dr Zaliha mengingatkan semua pengundi supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 14 November ini.

