
MERLIMAU – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyifatkan tindakan parti lawan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai membuang masa, wang dan tenaga disifatkan sebagai bukti keangkuhan pemimpin parti itu.
Ketua Wanita Amanah Nasional, Anfaal Saari berkata, dalam sistem demokrasi, setiap parti berhak bertanding dan menawarkan pilihan alternatif kepada rakyat, bukannya mempersoalkan keputusan pihak lain untuk menyertai pilihan raya.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) juga berhak tampil dengan tawaran perkhidmatan yang progresif bagi membolehkan rakyat Melaka menilai dan menentukan pilihan mereka.
“Dalam sistem demokrasi, sesiapa pun berhak untuk bertanding dan mengemukakan pilihan alternatif. Pakatan Harapan wajar tampil untuk rakyat Melaka memilih satu tawaran perkhidmatan yang progresif.
“Menyatakan buang masa dan wang adalah sebuah bukti keangkuhan pemimpin BN,” katanya ketika diminta The Malaysia Press (TMP) mengulas kenyataan Onn Hafiz itu.
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor hari ini, mendakwa parti yang bertanding menentang BN dan Perikatan Nasional (PN) hanya membuang masa, wang serta tenaga.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas diterimanya yang menunjukkan rakyat Melaka mahu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran politik pihak lawan.
Sementara itu, mengulas dakwaan pihak lawan memperkecilkan calon yang bertanding, Anfaal berkata, setiap calon mempunyai kelebihan tersendiri dan semua pihak perlu diberikan ruang untuk bersaing secara sihat.
“Pentas demokrasi yang adil membuka ruang saksama kepada semua calon. Rakyat Melaka yang menilai dan memilih. Ini hak mereka,” katanya.
