BUKIT KATIL – Pakatan Harapan (PH) tidak mahu heret sebarang spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk mendapatkan sokongan rakyat dengan memberi perhatian sepenuhnya kepada usaha mendekati pengundi.
Menurut beliau, tempoh 12 hari menjelang hari pengundian terlalu singkat untuk parti melayan sebarang andaian politik.
“Pilihan raya ini satu proses demokrasi dan tumpuan kita adalah untuk memenangi sokongan rakyat.
“Buat masa ini, fokus kami tidak lagi untuk respons kepada apa-apa andaian atau spekulasi kerana 12 hari adalah tempoh yang sangat pendek.
“Hala tuju kami seterusnya adalah memastikan calon dan jentera memberi fokus untuk mendekati pengundi. Itu keutamaan kami,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, empat kerusi yang ditandingi PH bertindih dengan Bersatu melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Gadek, Ayer Keroh dan Pengkalan Batu.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, proses penamaan calon PH berjalan lancar dan secara rasminya kempen digerakkan ke seluruh negeri bertemakan ‘Melaka Rumah Kita’.
Jelas beliau, tagline itu diketengahkan membawa mesej perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan yang perlu dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang budaya.
“Rumah ini satu analogi atau kiasan, iaitu tempat kita berteduh dan berlindung. Sebab itu ada istilah rumahku syurgaku.
“Kita mahu sebuah negeri yang menjadi tempat bahagia untuk didiami semua kaum dan semua orang, tanpa mengira latar belakang agama serta budaya,” katanya lagi.
