
SANDAKAN – Program larian sempena kempen kesedaran kanser payudara atau ‘Pinktober’ terus membawa mesej kesedaran mengenai penyakit itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Dr Musa berkata, penganjuran program seumpama itu perlu diteruskan setiap Oktober sebagai usaha menggalakkan lebih ramai masyarakat memberikan sokongan terhadap kempen berkenaan.
“Alhamdulillah, kita mendapat sambutan yang baik dengan kehadiran ramai peserta untuk memberikan sokongan terhadap kempen kesedaran ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Fun Run Pinktober 2026 di pekarangan Dewan Masyarakat Sandakan, di sini, pada Sabtu.
Hazem berkata, penganjuran program itu bersempena Oktober sebagai Bulan Kesedaran Kanser Payudara Sedunia turut membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama menunjukkan solidariti terhadap kempen berkenaan.
Justeru, beliau berharap penyertaan masyarakat akan terus meningkat pada masa akan datang bagi memastikan program Pinktober dapat diteruskan sebagai acara tahunan di Sandakan.


