SEMALAM telah berlegar di media sosial dikatakan surat arahan dari Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan merayu semua kawasan Pas di seluruh negeri memberi bantuan kewangan bagi membiayai saman yang dikenakan kepada Dr Siti Mastura Muhammad selepas kalah perbicaraan saman pada 4 Disember lalu.
Pada perbicaraan itu Siti Mastura diarahkan mahkamah untuk membayar kepada pihak plaintif iaitu Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok Suh Sim dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM825,000 setelah didapati bersalah kerana melakukan fitnah kepada tiga ahli DAP berkenaan.
Pihak Pas Pusat telah membincangkan perkara itu dan memutuskan bahawa Pas di semua peringkat perlu turut sama mengambil tanggungjawab menyelesaikan tuntutan itu memandangkan Siti Mastura tidak mampu menjelaskannya.
Justeru Tabung Derma Jihad telah dilancarkan bermula dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan, Dewan-Dewan dan cawangan demi menyelamatkan Siti Mastura daripada kebankrapan serta hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas dan kerusinya itu perlu dikosongkan.


Seandainya surat arahan itu benar adakah Tabung Derma Jihad yang dilancarkan itu mampu membiayai jumlah kos tuntutan yang diputuskan oleh mahkamah tempoh hari?
Sekiranya Tabung Derma Jihad itu berjaya dikumpulkan oleh para penyokong Pas, ini membuktikan semangat wala’ mereka terhadap parti itu adalah sangat tinggi walau pun pemimpin mereka kalah saman fitnah.
Ini membuktikan mereka sanggup berkorban sama ada duit atau barang kemas semata-mata mahu melihat ahli Parlimen mereka terselamat daripada kehilangan kerusi Parlimen Kepala Batas.
Apa yang menjadi persoalan mahukah mereka menyumbangkan sumbangan itu dan bersubahat dengan seorang yang melakukan fitnah kepada hamba Allah yang lain walaupun mereka itu bukan seagama?
Adakah Islam mengajar kita membantu pemfitnah meloloskan diri daripada dikenakan hukuman selepas melakukannya. Di samping itu penyokong tegar perlu sedar duit itu juga akan sampai kepada pihak berkenaan yang sebelum ini digelar sebagai kafir harbi.

Sekiranya Siti Mastura berjaya membayar ganti rugi itu kepada trio DAP itu, mereka sudah pasti akan beraya sakan kerana mendapat awal duit ang pow bagi menyambut Tahun Baharu Cina nanti.
Begitulah sebaliknya sekiranya Tabung Derma Jihad itu gagal mengumpul semaksimum sudah pasti Siti Mastura akan berhadapan dengan kebankrapan dan sekali gus hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas.
Apa yang jelas tidak semua penyokong Pas mahu diheret atau bersubahat dalam kes fitnah itu yang turut terpalit dengan dosa. Ini sudah pasti akan mencabar kedudukan Siti Mastura.
Maka gendang pilihan raya akan bergema sekali lagi di Parlimen Kepala Batas dan inilah musibahnya apabila seseorang itu bercakap mengikut nafsu sanggup berkata apa sahaja demi mendapatkan kuasa.
Apa yang penting tragedi seperti ini perlu diambil ikhtibar kepada semua ahli politik terutamanya Pas yang dikatakan parti Islam kini menjadi juara dalam menfitnah hingga mendahului ahli politik lain.
Walaupun tinggi mana sekali pun kita mendapat pendidikan tetapi peribahasa Melayu lama jangan kita abaikan iaitu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.






