
KOTA KINABALU – Sebanyak 59 buah sekolah serta lapan lokasi industri di Sabah kini mendapat manfaat inisiatif projek Point of Presence (PoP) Fasa Satu hab gentian optik bagi membolehkan komuniti sekitar menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif, PoP Fasa 2 yang melibatkan 636 buah sekolah di negeri ini sedang dalam pelaksanaan.
“Projek inisiatif Kementerian Komunikasi ini melibatkan penyediaan infrastruktur gentian optik berhampiran sekolah dan dapat dinikmati oleh premis kediaman, premis industri serta premis perniagaan yang terletak di sekitar sekolah tersebut,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.
Mengenai Proof of Concept (POC) Starlink, Mohd Arifin berkata, tiada perancangan untuk menambah pemasangan di lokasi baharu buat masa ini oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, MCMC sedang menjalankan POC bagi pemasangan peranti satelit Starlink menerusi dua Fasa di 40 lokasi di seluruh negara.
“Fasa pertama melibatkan 10 unit peranti Starlink yang telah dipasang di lokasi terpilih di seluruh negara termasuk dua di Sabah iaitu di Kampung Langsat, Ranau dan SK Malaing, Keningau.
“POC Fasa 2 pula melibatkan 30 unit peranti Starlink termasuk lapan yang telah dipasang di negeri Sabah iaitu masing-masing dua di Tawau dan Papar, serta satu unit di Keningau, Kudat, Tuaran dan Nabawan,” tambahnya.






