PUTRAJAYA – Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) Ke-31 dari 14 hingga 16 November ini di Lima, Peru, yang bertemakan ‘Empower. Include. Grow’ akan menghimpun pemimpin ekonomi Asia Pasifik untuk memperkukuh pertumbuhan mampan dan pembangunan inklusif di rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia dengan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selain penyertaan dalam AELM, Anwar akan menyertai Dialog Tidak Formal Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin Ekonomi APEC, serta pertemuan pemimpin industri yang diatur Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Perbincangan ini bertujuan meraih potensi pelaburan yang akan mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia, selaras dengan keutamaan strategik yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), dan inisiatif ekonomi negara yang lain,” kata MITI dalam satu kenyataan.
MITI menjelaskan, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat untuk memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dan meneroka peluang integrasi ekonomi yang lebih mendalam dalam APEC.
Perdana Menteri juga akan membincangkan bagaimana perdagangan dan pelaburan dapat membantu mengurangkan kesan cabaran geopolitik dan geoekonomi semasa.
Secara keseluruhannya, persidangan kali ini dimulakan dengan APEC CEO Summit 2024 pada Rabu malam dengan resepsi bertemakan ‘Gerbang Meraih Peluang Terbuka’ yang turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin global.






