
APA sebenarnya takrifan mudah bagi perkataan berwibawa?
Senang cerita, berwibawa itu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Ya, definisi mudahnya itu!
Jika dirincikan, takrifnya merangkumi lima jalur budi – akal budi, budi bahasa, budi bicara, budi pekerti, dan hati budi.
Seseorang ayah dianggap berwibawa jika beliau menyediakan tempat tinggal, makan minum, dan pakaian kepada ahli keluarganya.
Bagi pasangan yang bercerai, berwibawa bermaksud melupakan keegoan peribadi demi memastikan anak-anak tidak terabai.
Kalau dianalogikan kerajaan itu bekas suami; pembangkang itu bekas isteri atau sebaliknya, berwibawakah pembangkang sekarang?
Jawapannya mengecewakan!
Sebagai bekas suami atau isteri, pembangkang sentiasa cari pasal atas ketulusan bekas pasangannya melaksanakan tanggungjawab kepada anak-anak.
Bekas pasangan buat itu tak kena, buat ini pun tak kena.
Semua perkara dilihat sebagai salah dan tidak menyenangkan.
Disebarkan ‘kesalahan’ itu hinggakan bekas pasangannya dikutuk oleh masyarakat yang tak tahu hujung pangkal ceritanya.
Ketika mereka menuntut peruntukan sebagai Ahli Parlimen, Kerajaan Perpaduan buka pintu seluas-luasnya.
Kerajaan hanya minta mereka penuhi dua perkara; pertama, jangan lagi bermain dengan isu 3R; kedua, isytiharkan harta.
Malangnya mereka bukan sahaja menolak, bahkan mencipta naratif sensasi hinggakan sampai ke garis memfitnah!
Yang rugi siapa jika bukan rakyat?
Sekiranya pembangkang mementingkan kewibawaan, mereka pasti bersetuju memenuhi dua permintaan kerajaan.
Tidak sukar pun memenuhi dua perkara itu melainkan pembangkang takut terkantoi dan ada niat busuk dalam menguasai atmosfera politik tanah air.
Ketika kerajaan berusaha mengukuhkan ekonomi dengan pelbagai cara mengikut lunas undang-undang, pembangkang membantah dari sisi yang tidak bermoral.
Pembangkang menuduh kerajaan menjual Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock sehingga riuh satu negara.
Yang sebenarnya itu tidak berlaku pun!
Buktinya jelas iaitu pegangan kerajaan ke atas aset itu sangat kukuh dengan pemilikan 70 peratus saham.
Dalam konteks ini, pembangkang tidak memperlihatkan kewibawaannya sebaliknya yang tertonjol, kepengacauan mereka.
Timbul satu pertanyaan – tidakkah mereka sedar bahawa sikap itu merugikan rakyat?
Mereka sedar sebenarnya tetapi itulah yang dimahukan.
Mereka mahu membangkitkan kemarahan rakyat dari pelbagai segi ke atas kerajaan.
Mereka percaya, jika rakyat marah, mudahlah mereka menumbangkan kerajaan.
Sebenarnya, menimbulkan kemarahan tidak salah jika betul kerajaan melakukan kecurangan, namun itu tidak dilakukan kerajaan.
Ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, PH melakukan itu namun ada isu dan asasnya kuat.
PH membongkar kes 1MDB dan kini ada pihak dihantar ke penjara dan banyak pihak masih diburu.
Kes itu pula membabitkan harta negara dalam jumlah yang besar dan membebankan kerajaan sekarang melangsaikan hutang.
Itu hanya satu contoh. Banyak lagi tersenarai.
Itu bukti, pembangkang sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan sangat berwibawa.
Malangnya, pembangkang sekarang tidak begitu.
Hari ini, ketika Perdana Menteri (PM) dan ramai menteri berada di luar negara, ramai pula Ahli Parlimen pembangkang hadir ke persidangan.
Yang selalu ponteng dan merapu pun hadir!
Sungguhpun begitu, mereka tidak memperlihatkan kewibawaan, sebaliknya merapu dan sekadar buat bising atas isu dan perkara yang tidak berfaedah.
Penat betul kita ada pembangkang sebegini!





