
TUARAN – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menjadi platform terbaik untuk mengeratkan perpaduan serta menjalinkan hubungan persahabatan antara golongan muda dari Semenanjung dan Sabah menerusi pengalaman bersama sepanjang menjalani latihan.
Perkara itu diakui sukarelawan PLKN, Faiz Azri Aziz Jaafar, 24, yang menyifatkan peluang bergaul dengan anak muda Sabah sebagai pengalaman paling bermakna sepanjang menyertai program berkenaan.
“Pengalaman paling bermakna selaku pelatih sukarela daripada Semenanjung, ini kali pertama saya berjumpa dengan warga Sabah, terutamanya anak muda Sabah, yang majoriti berumur 18 tahun di sini.
“Jadi kita nampak beza budaya dia itu sangat ketara berbanding dengan saya yang 24 tahun tinggal di Semenanjung.
“Jadi pengalaman itu satu perkara yang baharu untuk saya dan saya sangat selesa dengan rakan-rakan Sabah di sini,” katanya kepada wartawan TMP selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026 Pusat Latihan Khidmat Negara 3.0, di Pusat Latihan Rela Negeri Sabah (PLRNS), di sini, pada Isnin.

Mengulas sama ada pernah terfikir untuk menarik diri daripada latihan berkenaan, Faiz Azri mengakui perasaan itu pernah timbul, terutama pada minggu pertama kerana merasakan dirinya kurang sesuai dengan persekitaran serta perbezaan usia dan budaya antara pelatih.
Bagaimanapun, katanya, keadaan mula berubah apabila memasuki minggu kedua apabila hubungan dan keserasian antara pelatih semakin erat.
“Bila masuk minggu kedua, ukhuwah mula terjalin antara satu sama lain. Jadi, makin lama kita makin tidak mahu balik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Faiz Azri turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya kerana memberikan keizinan untuk menyertai PLKN secara sukarela.
Katanya, beliau sememangnya berminat untuk mengikuti program itu selepas peluang penyertaan secara sukarela dibuka semula, memandangkan pelaksanaan PLKN sebelum ini pernah tergantung selepas diperkenalkan pada 2018.
“Nasihat kepada golongan muda, kawan-kawan di luar sana. Tidak rugi untuk kita cuba benda yang percuma dan benda ini membantu kita menambah sijil dan merit untuk memohon kerja pada esok-esok hari. InsyaAllah,” kongsinya.
Terdahulu, Faiz Azri menerima penganugerahan Wira Muda Ulung bagi sesi kali ini yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya sepanjang mengikuti latihan berkenaan.



