
KUALA LUMPUR – Lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke Malaysia pada 16 dan 17 November ini dijangka memperkukuh kerjasama sedia ada kepada Perkongsian Strategik kedua-dua negara.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini berkata, lawatan berkenaan atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang juga kunjungan pertama Macron ke Malaysia sejak memegang jawatan Presiden Perancis pada Mei 2017.
“Pada Selasa, Macron dijadual menerima Istiadat Sambutan Rasmi di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sebelum menghadiri mesyuarat dua hala bersama Datuk Seri Anwar.
“Mesyuarat berkenaan akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, mineral kritikal, peralihan tenaga, pertahanan serta pendidikan.
“Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran global semasa serta peluang memperkukuh kerjasama antara negara yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut Wisma Putra.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan bidang pertahanan, pendidikan tinggi, mineral kritikal dan peralihan tenaga.
Anwar turut dijadual menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Macron, isteri serta delegasi Perancis.
Dari sudut ekonomi, hubungan perdagangan kedua-dua negara kekal signifikan apabila jumlah dagangan Malaysia-Perancis mencecah RM17.78 bilion pada 2025.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Perancis bernilai RM6.05 bilion, dengan produk elektrik dan elektronik sebagai eksport utama, manakala import dari negara berkenaan berjumlah RM11.73 bilion, terutama melibatkan peralatan pengangkutan, jentera dan bahan kimia.
Perancis kini merupakan rakan dagang ke-21 terbesar Malaysia di peringkat global dan keempat terbesar dalam kalangan negara Eropah.
Lawatan rasmi itu dijangka membuka ruang lebih luas kepada kerjasama strategik yang saling menguntungkan, sekali gus memperkukuh hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 1957.


