
MANILA – Malaysia terus komited memainkan peranan diplomatik dalam menangani kemelut Myanmar menerusi penglibatan langsung dan dialog berterusan dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian lebih berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dengan kepimpinan Myanmar di Bangkok dan Beijing, disusuli lawatan rasmi Min Aung Hlaing ke Malaysia pada Oktober lalu merupakan sebahagian daripada usaha ini.
“Pendekatan tersebut tidak sekali-kali mengetepikan kerangka ASEAN dan Konsensus Lima Perkara (5PC), sebaliknya membuka ruang untuk menyampaikan pendirian serta harapan kita secara terus, di samping menangani isu dua hala, termasuk kebajikan rakyat Myanmar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pendekatan Malaysia dalam Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 pada Isnin.

Selain isu Myanmar, perbincangan turut menyentuh ancaman jenayah penipuan rentas sempadan serta potensi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Anwar turut menggesa supaya pelaksanaan Jaringan Grid Tenaga ASEAN dipercepat bagi memenuhi permintaan tenagayang semakin meningkat, khususnya daripada sektor ekonomi digital dan pusat data.



